Siapa Waris Si Mati?

Siapa Waris Si Mati?

Apabila berlaku kematian, pembahagian dan pengurusan harta pusaka merupakan satu perkara yang mesti dilaksanakan mengikut kaedah dan prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh hukum syarak dan undang-undang.

Namun demikian, ramai orang tidak mengetahui sama ada dia menjadi waris si mati atau tidak? Sama ada ibu dan bapa si mati yang masih hidup berhak ke atas harta pusaka si mati atau tidak?

Sebenarnya, Allah S.W.T telah menerangkan secara terperinci mengenai pembahagian harta pusaka dalam Al-Qur’an, di mana di dalamnya telah dijelaskan mengenai bahagian setiap waris serta kedudukan mereka dalam mewarisi harta peninggalan si mati. Ia sebagaimana yang telah disebut di dalam surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Walau bagaimanapun, bahagian-bahagian yang telah ditetapkan kepada waris-waris adalah berbeza bergantung kepada jauh atau dekatnya hubungan waris-waris tersebut dengan si mati.

Sistem faraid merupakan satu sistem pembahagian pusaka yang adil dan seimbang. Ini kerana sistem tersebut telah mengakui hak setiap waris terhadap harta peninggalan si mati dan memberi ruang yang luas-seluasnya kepada mereka yang mempunyai hubungan dengan si mati samada melalui hubungan darah atau perkahwinan untuk mewarisi harta peninggalan tersebut. Sistem ini juga, melindungi bahagian setiap waris dengan menetapkan kadar yang tertentu dan menghadkan kadar wasiat yang hanya pada kadar satu pertiga sahaja dari hartanya, demi untuk mengelak si mati meninggalkan warisnya dalam kemiskinan. Selain itu, Islam juga telah menentukan waris-waris yang berhak ke atas harta peninggalan si mati iaitu waris ashab al-furud, asabah dan dhawi al-arham.

Untuk memahami secara mendalam, maka dicadangkan kepada pembaca sekalian untuk mempelajari ilmu faraid daripada guru-guru yang berkelayakan.

Jenis-Jenis Waris

Terdapat tiga golongan waris yang berhak menerima dan mewarisi harta peninggalan si mati, iaitu waris ashab al-furud, waris asabah dan waris dhawi al-arham.

Waris Ashab al-Furud

Ashab al-furud ialah waris yang telah ditetapkan bahagiannya di dalam Al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijmak. Di dalam Al-Qur’an, Allah S.W.T telah menetapkan secara jelas mengenai bahagian-bahagian tertentu untuk waris-waris yang berhak menerima harta peninggalan si mati secara fardu, yang mana bahagian-bahagian tersebut ada enam iaitu: 1/2, 1/4, 1/8, 2/3, 1/3 dan 1/6.

Waris Asabah

Asabah ialah waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka. Mereka mempunyai pertalian yang kuat dengan si mati kerana mereka di sebelah pertalian bapa. Walau bagaimanapun, mereka kadangkala menerima semua harta pusaka si mati sekiranya waris ashab al-furud tiada, kadangkala juga mereka menerima baki dari harta pusaka tersebut setelah dibahagikan kepada ashab al-furud dan kadangkala pula mereka tidak menerima sebarang harta, kerana harta pusaka tersebut telah habis dibahagikan kepada ashab al-furud. Asabah terbahagi kepada Asabah bi al-nafs, Asabah bi al-ghayr dan  Asabah ma al-ghayr.

Waris Dhawi al-Arham

Dhawi al-arham dari segi istilah ialah waris yang mempunyai hubungan keluarga atau darah dengan si mati selain dari waris ashab al-furud dan asabah samada lelaki atau perempuan. Contohnya, anak lelaki dan perempuan kepada anak perempuan, anak lelaki dan perempuan kepada saudara-saudara perempuan, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain.

Praktis Semasa

Mengikut amalan di Malaysia, secara umumnya, apabila seseorang itu meninggal dunia dan meninggalkan waris ashab al-furud dan waris asabah, maka kesemua waris-waris yang berkelayakan tersebut adalah berhak mewarisi harta pusaka si mati.

Tetapi sekiranya seseorang si mati meninggalkan hanya waris dhawi al-arham atau tidak mempunyai waris asabah atau tidak mempunyai waris langsung, maka harta si mati akan diserahkan kepada baitulmal.

Baitulmal adalah sebagai institusi yang berperanan untuk mentadbir harta pusaka bagi maksud maslahah umum umat Islam. Dalam keadaan sekiranya baitulmal menerima harta tak alih, biasanya baitulmal akan memberi keizinan kepada waris-waris yang tidak berhak (anak angkat, dhawi al-arham dan sebagainya) untuk menebus harta pusaka tersebut. Dalam hal ini, bermakna waris dhawi al-arham diberi kebenaran untuk menebus harta pusaka si mati contohnya sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam sek.7, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah No.9 Tahun 1962 dan sek. 81(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Justeru itu bagi harta pusaka yang telah menjadi milik baitulmal, dengan kebenaran Majilis Agama Islam Negeri (MAIN) waris-waris si mati dibenarkan menebus kembali hartanah tersebut dengan harga semasa yang telah dinilaikan oleh JPPH atau jurunilai yang dilantik jika hartanah tersebut tidak sesuai dan tidak berpotensi untuk dimajukan sendiri oleh pihak baitulmal.

Sesungguhnya Islam telah menetapkan hikmah dalam pembahagian harta pusaka dan menyusun mengikut keutamamaan waris-waris yang berhak untuk menerima harta pusaka si mati. Ketetapan bahagian masing-masing akan dapat menghapus ketidakadilan dalam pembahagian harta atau seumpamanya sehingga boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan dalam keluarga.

Apa yang lebih utama ialah mereka yang mewarisi harta yang melebihi dari waris-waris lain, maka sesungguhnya dia juga mewarisi tanggungjawab yang berat yang perlu dipikul bagi membantu kesinambungan kehidupan waris-waris lain. 

Leave a Reply