Bantuan
Senarai Waris
Papar semua walaupun Waris terdinding
Simati
Jantina
Waris Utama
Isteri
Bapa
Ibu
Anak Lelaki (AL)
Anak Perempuan (AP)
Waris Ganti
Bapa Kepada Bapa (Datuk)
Ibu Kepada Bapa (Nenek)
Ibu Kepada Ibu (Nenek)
Anak Lelaki kepada Anak Lelaki (Cucu Lelaki)
Anak Perempuan kepada Anak Lelaki (Cucu Perempuan)
AL kepada AL kepada AL (Cicit Lelaki)
AP kepada AL kepada AL (Cicit Perempuan)
Waris Kedua
Saudara Seibu Sebapa Lelaki (SIBL)
Saudara Sebapa Lelaki (SBL)
Saudara Seibu Lelaki (SIL)
Saudara Seibu Sebapa Perempuan (SIBP)
Saudara Sebapa Perempuan (SBP)
Saudara Seibu Perempuan (SIP)
Anak Lelaki kepada SIBL (Anak Saudara)
Anak Lelaki kepada SBL (Anak Saudara)
SIBL kepada Bapa (Bapa Saudara)
SBL kepada Bapa (Bapa Saudara)
Anak Lelaki kepada SIBL kepada Bapa (Sepupu)
Anak Lelaki kepada SBL kepada Bapa (Sepupu)
SIBL Datuk
SBL Datuk
Anak Lelaki SIBL Datuk
Anak Lelaki SBL Datuk
 
 
Jenis Harta
Nilai (RM)
TANAH
RUMAH / BANGUNAN
KENDERAAN
TABUNG HAJI
KWSP
SIMPANAN
PELABURAN / UNIT TRUST
SYER
HASIL SEWA
BARANG KEMAS
LAIN-LAIN
JUMLAH
0.00
 

1 Pengenalan

Kalkulator Faraid Majlis Agama Islam Selangor (K-Faraid MAIS) dicipta bagi memberikan panduan dan pendidikan kepada umat Islam tentang pembahagian harta pusaka mengikut Hukum Syarak. K-Faraid MAIS akan membolehkan pengguna mengetahui bahagian setiap ahli waris yang ditinggalkan oleh si mati secara pantas dan memudahkan. Ia mempunyai maklumat tambahan kepada pengguna memahami dan melakukan pembahagian harta pusaka dengan penerangan asal masalah, pengiraan mengikut nilai harta dan pokok waris. Namun harus diingat bahawa sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan, beberapa keutamaan perlu diambil kira seperti berikut:

  • Mengenalpasti waris-waris si mati yang berhak dan yang tidak berhak;

  • Mengklasifikasikan harta peninggalan si mati sama ada ianya harta pusaka atau tidak;

  • Menyelesaikan perbelanjaan pengurusan jenazah si mati;

  • Menjelaskan hutang-piutang si mati dengan Allah SWT dan dengan manusia; dan

  • Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian (jika berkenaan).

  • Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan oleh si mati (jika ada).

1.1 Ilmu Faraid

Faraid berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab yang asalnya daripada perkataan fardh yang bermaksud al-taqdir (yang ditentukan). Ilmu faraid adalah ilmu pembahagian harta pusaka (pewarisan) atau ilmu yang berkaitan dengan harta peninggalan si mati. Ia adalah gabungan kaedah fiqh dan matematik yang membolehkan hak setiap waris diketahui daripada pengiraan yang dilakukan. Ilmu faraid adalah bersumberkan kepada Al-Quran, Hadis dan Ijma’ Ulama dan Ijtihad para sahabat r. anhum. Firman Allah SWT:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Firman Allah SWT:

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۚ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ ۚ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

Yang bermaksud: “Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukuman itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengentahui, lagi Maha Penyabar.” (Surah Al-Nisa’: 12)

Firman Allah SWT:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Yang bermaksud: “Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah Al-Nisa’: 176)

Hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Yang bermaksud: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya, apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hal yang berkaitan gugurnya hak faraid, hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

القاتلُ لا يَرِثُ

Yang bermaksud: “Pembunuh tidak akan mewarisi harta pusaka.” (Riwayat at-Tirmizi)

Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ

Yang bermaksud: “Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.” (Riwayat al-Bukhari)

1.2 Kepentingan

Ilmu faraid adalah salah satu daripada cabang ilmu fiqh yang sangat diambil berat dan dipandang tinggi dalam Islam. Rasululllah s.a.w. sangat menuntut kita mempelajari ilmu faraid dan tidak mengabaikannya. Hadis daripada daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

تعلَّموا الفرائضَ وعلِّموها الناسَ ، تعلَّموا القرآنَ وعلِّموه الناسَ؛ فإِنَّي امرؤٌ مقبوضٌ ، والعلمُ سينقبِضُ ، وتظهرُ الفتنُ ، حتى يختلِفَ اثنانِ في فَريضَةٍ ، لا يجدانِ أحدًا يَفْصِلُ بينَهما

Yang bermaksud: “Pelajarilah faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia, pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia,. Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu tersebut akan digenggam (dicabut), dan nanti akan timbul fitnah-fitnah, sehingga nanti apabila dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara kedua-duanya.” (Riwayat al-Nasa’ie)

Manakala hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

تعلَّموا الفرائضَ وعلِّموها الناسَ فإنه نصفُ العلمِ وهو يُنسَى وهو أولُ ما يُنتَزَعُ من أمتي

Yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.” (Riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w. meletakkan ilmu faraid di tempat yang sangat tinggi berbanding ilmu-ilmu lain. Baginda bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru r.a.:

العِلْمُ ثَلاثةٌ، وما سوى ذلك فهو فَضْلٌ؛ آيةٌ مُحكَمةٌ، أو سُنَّةٌ قائمةٌ، أو فَريضةٌ عادلةٌ

Yang bermaksud: “Ilmu itu ada tiga, selainnya adalah lebihan sahaja, iaitu ayat Muhkamat (ayat hukum yang tidak dimansuhkan), sunnah yang sahih yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w dan ilmu pembahagian harta pusaka yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

Para sahabat Rasulullah s.a.w. amat mengambil berat terhadap ilmu faraid sama ada dari segi pembelajarannya atau pengajarannya. Saidina Umar r.a. pernah berkata:

تعلموا الفرائض فانها من دينكم

Maksudnya: “Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu.”

Antara para sahabat yang khusus mempelajari ilmu faraid dan menguasainya melebihi orang lain adalah Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud dan Zaid bin Thabit r.a. Nabi s.a.w sendiri mengakui keilmuan Zaid bin Thabit dalam ilmu faraid. Baginda bersabda melalui hadis daripada Anas bin Malik r.a.:

أفرَضُكم زيدُ بنُ ثابتٍ

Yang bermaksud: “Orang yang paling pandai ilmu faraid daripada kamu ialah Zaid bin Tsabit.” (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh yang demikian, ilmu faraid memberikan banyak faedah antaranya ialah:

  • Tuntutan fardu kifayah kepada umat Islam supaya ilmu ini tidak dilupakan;
  • Mengelakkan waris atau sesiapa sahaja memakan harta secara haram;
  • Mendidik waris supaya tidak bersikap tamak haloba dan merampas hak orang lain;
  • Menghindarkan salah faham dan mengelakkan terputusnya hubungan silaturrahim; dan
  • Menyegerakan agihan harta pusaka dan membuat perancangan harta semasa hidup.

1.3 Kewajipan

Sistem pembahagian harta pusaka adalah suatu sistem yang sah menurut al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Ijitihad para sahabat r.a. Kewajipannya sama seperti hukum solat, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksanakan, diamalkan, tidak boleh diubah atau diabaikan walaupun telah sekian lama disyariatkan. Ia memelihara kepentingan semua pihak. Walau bagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka adalah lebih baik, namun undang-undang Allah tetap yang terbaik. Firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهارُ خالِدِينَ فِيها وَذلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ(13) وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خالِداً فِيها وَلَهُ عَذابٌ مُهِينٌ(14)

Yang bermaksud: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.” (Surah al-Nisa’: 13-14)

Manakala dalam firman-Nya lagi:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Yang bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

2 Perkara Asas

2.1 Rukun Pusaka

  1. Si mati: Orang yang meninggal dunia dan diwarisi hartanya.

    Mati dibahagikan kepada dua iaitu mati hakiki dan mati hukmi. Mati hakiki ialah kematian yang nyata dan tidak dipertikaikan kebenarannya. Sementara mati hukmi ialah kematian yang tidak dapat dibuktikan dengan nyata, tetapi telah dihukumkan mati oleh Hakim melalui anggapan kematian.

  2. Waris: Orang yang berhak menerima pusaka sama ada dengan sebab perkahwinan, keturunan, pembebasan hamba dan Islam.

    Ikatan perkahwinan yang sah di sisi Hukum Syarak merupakan salah satu sebab yang membolehkan seseorang itu menerima pusaka sama ada suami atau isteri. Selain daripada perkahwinan, seseorang waris boleh mewarisi pusaka dengan sebab keturunan hakiki, iaitu pertalian darah dengan si mati. Termasuk dalam maksud keturunan ialah keturunan ke bawah (furu’) iaitu anak, cucu dan ke bawah, keturunan ke atas (usul) iaitu ibu, bapa, nenek, datuk dan ke atas, waris-waris sisi si mati (hawasyi) seperti saudara, anak saudara dan ke bawah, waris sisi kepada bapa si mati iaitu bapa saudara, sepupu dan waris datuk si mati iaitu datuk saudara, anak kepada datuk saudara dan seterusnya. Di samping itu, tuan yang membebaskan hamba berhak mendapat harta pusaka bekas hamba yang dibebaskan itu jika bekas hambanya tidak mempunyaiwaris yang berhak mewarisi harta pusakanya. Manakala seseorang Islam yang meninggal dunia namun tiada waris, maka harta pusakanya akan diserahkan kepada Baitulmal.

  3. Harta: Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.

    Termasuk Harta Pusaka

    • Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
    • Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
    • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;
    • Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;
    • Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
    • Penama Takaful; dan
    • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.

    Bukan Harta Pusaka

    • Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah;
    • Khairat kematian;
    • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
    • Imbuhan, pampasan dan sagu hati;
    • Pencen terbitan; dan
    • Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)

2.2 Halangan Pusaka

Waris-waris yang berhak menerima pusaka sama ada dengan sebab perkahwinan atau keturunan akan boleh terhalang daripada menerima pusaka atas sebab-sebab berikut:

  1. Membunuh

    Ulama telah sepakat bahawa membunuh adalah antara perkara yang menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka orang yang dibunuhnya. Hadis daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

    ليس للقاتِلِ شيءٌ

    Yang bermaksud: “Pembunuh tidak layak menerima apa-apa (mewarisi harta pusaka).” (Riwayat Abu Daud)

  2. Murtad

    Seseorang yang murtad iaitu keluar daripada agama Islam tidak berhak mewarisi pusaka si mati beragama Islam.

  3. Berlainan Agama

    Perbezaan agama antara Islam dan bukan Islam akan menghalang kedua-duanya daripada mewarisi pusaka. Hadis daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ

    Yang bermaksud: “Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.” (Riwayat al-Bukhari)

3 Waris-Waris

Waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka dibahagikan kepada waris lelaki dan perempuan. Penentuan jantina waris adalah sangat penting dan hendaklah dipastikan kerana ia akan menentukan waris-waris mewarisi secara fardu atau asobah.

3.1 Waris Lelaki

  1. Anak lelaki

  2. Cucu lelaki daripada anak lelaki dan ke bawah

  3. Bapa

  4. Datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) dan ke atas

  5. Saudara seibu sebapa lelaki

  6. Saudara sebapa lelaki

  7. Saudara seibu lelaki

  8. Anak saudara seibu sebapa lelaki dan ke bawah

  9. Anak saudara sebapa lelaki dan ke bawah

  10. Bapa saudara seibu sebapa

  11. Bapa saudara sebapa

  12. Anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa dan ke bawah

  13. Anak lelaki kepada kepada bapa saudara sebapa dan ke bawah

  14. Suami

  15. Tuan yang membebaskan hamba

Jika seseorang meninggal dunia meninggalkan semua waris lelaki sahaja tanpa waris perempuan, hanya 3 waris lelaki sahaja yang layak mewarisi pusaka iaitu:

  1. Bapa

  2. Suami

  3. Anak Lelaki

3.2 Waris Perempuan

  1. Anak perempuan

  2. Cucu perempuan daripada Anak lelaki dan ke bawah

  3. Ibu

  4. Nenek sebelah ibu dan ke atas

  5. Nenek sebelah bapa dan ke atas

  6. Saudara seibu sebapa perempuan

  7. Saudara sebapa perempuan

  8. Saudara seibu perempuan

  9. Isteri

  10. Tuan yang membebaskan hamba

Sekiranya seseorang si mati semua waris perempuan tanpa waris lelaki, hanya 5 orang yang layak iaitu:

  1. Anak perempuan

  2. Cucu perempuan daripada anak lelaki (jika simati hanya ada seorang anak perempuan)

  3. Ibu

  4. Saudara perempuan seibu sebapa

  5. Isteri

3.3 Berhimpun Waris Lelaki dan Perempuan

Sekiranya si mati meninggalkan kesemua waris lelaki dan perempuan, waris-waris yang berhak mewarisi pusaka ialah seramai 5 orang sahaja seperti berikut:

  1. Suami / Isteri

  2. Bapa

  3. Ibu

  4. Anak Lelaki

  5. Anak Perempuan

Kelima-lima waris di atas dinamakan waris utama dan merupakan waris yang paling hampir dengan si mati. Mereka (kecuali suami / isteri) akan mendindingkan waris-waris lain.

4 Cara Mewarisi

Cara mewarisi harta pusaka sama ada seseorang waris itu berhak atau tidak berhak adalah tertakluk kepada jenis-jenis waris.

4.1 Waris Fardu

Fardu menurut istilah ilmu faraid adalah kadar bahagian harta pusaka yang akan diwarisi oleh seseorang waris yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak. Sebagai contoh, bahagian isteri telah ditetapkan sebanyak 1/4 bahagian sekiranya si mati tiada anak, dan telah ditetapkan sebanyak 1/8 bahagian sekiranya si mati meninggalkan anak.

Kadar bahagian waris-waris fardu adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran sebanyak 6 bahagian iaitu ½, 1/3, 2/3, ¼, 1/6 dan 1/8. Selain itu, terdapat satu bahagian waris fardu yang diputuskan berdasarkan ijtihad sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu 1/3 baki (1/3 baki daripada baki harta setelah ditolak bahagian fardu yang lain). Bahagian fardu 1/3 baki ini hanya tertentu dalam masalah ‘Umariyyatain / Gharrawain sahaja.

Waris-waris yang tergolong sebagai waris fardu ialah isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

Dalil-dalil al-Quran berkaitan waris-waris fardu adalah seperti berikut:

1. 1/2 :

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ

2. 1/3 :

فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ

3. 2/3 :

فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ

4. 1/4 :

فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ

5. 1/6 :

وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ

6. 1/8 :

فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ


4.1.1 Kadar Bahagian Waris Fardu

1. Satu Perdua (1/2)

1.

Suami

Syarat: Tidak ada keturunan ke bawah

2.

1 Anak Perempuan

Syarat: Tidak ada anak lelaki

3.

1 Cucu Perempuan

Syarat: Tidak ada

i- Anak lelaki/perempuan

ii. Cucu lelaki

4.

1 Saudara Seibu Sebapa Perempuan (SIBP)

Syarat: Tidak ada

i. Bapa

ii. Datuk

iii. Keturunan ke bawah

iv. Saudara seibu sebapa lelaki(SIBL)

5.

1 Saudara Sebapa Perempuan (SBP)

Syarat: Tidak ada

i. Bapa

ii. Datuk

iii. Keturunan ke bawah

iv. Saudara seibu sebapa lelaki/perempuan (SIBL/P)

v. Saudara sebapa lelaki (SBL)

2. Satu Pertiga (1/3)

1

Ibu

Syarat: Tidak ada

i. Keturunan ke bawah

ii. Berbilang saudara sama ada SIB/SB/SI lelaki/perempuan

2

2 Saudara Seibu Lelaki/Perempuan atau Lebih

Syarat: Tidak ada

i. Keturunan ke bawah

ii. Keturunan lelaki ke atas

3. Satu Perempat (1/4)

1

Suami

Syarat: Ada keturunan ke bawah

2

Isteri

Syarat: Tidak ada keturunan ke bawah

4. Dua Pertiga (2/3)

1

2 Anak Perempuan atau Lebih

Syarat: Tidak ada anak lelaki

2

2 Cucu Perempuan atau Lebih

Syarat: Tidak ada

i. Cucu lelaki

ii. Anak lelaki/perempuan

3

2 Saudara Seibu Sebapa Perempuan (SIBP) atau Lebih

Syarat: Tidak ada

I. Bapa

ii. Datuk

iii. Keturunan ke bawah

iv. Saudara seibu sebapa lelaki (SIBL)

4

2 Saudara Sebapa Perempuan (SBP) atau Lebih

Syarat: Tidak ada

I. Bapa

ii. Datuk

iii. Keturunan ke bawah

iv. Saudara seibu sebapa lelaki/perempuan (SIBL/P)

v. Saudara sebapa lelaki (SBL)

5. Satu Perenam (1/6)

1

Bapa

Syarat: Ada keturunan ke bawah

2

Ibu

Syarat:

i. Ada keturunan ke bawah

ii. Ada berbilang saudara sama ada:

SIB, SB, SI lelaki/perempuan

3

Datuk

Syarat:

I. Ada keturunan ke bawah

ii. Tidak ada bapa

iii. Tidak ada Saudara SIB/SB

4

Nenek

Sebelah ibu – Tidak ada ibu

Sebelah bapa – Tidak ada ibu dan bapa

5

Cucu Perempuan

Syarat:

i. Ada 1 anak perempuan

ii. Tidak ada anak lelaki/cucu lelaki

6

Saudara Sebapa Perempuan (SBP)

Syarat:

i. Ada 1 saudara seibu sebapa perempuan (SIBP)

ii. Tidak ada keturunan ke bawah

iii. Tidak ada bapa/datuk

iv. Tidak ada SIBL dan SBL

7

1 Saudara Seibu sama ada Lelaki/Perempuan (SIL/P)

Syarat:

i. Tidak ada keturunan ke bawah

ii. Tidak ada keturunan lelaki ke atas

6. Satu Perlapan (1/8)

1

Isteri

Syarat: Ada Keturunan ke bawah

7. Satu Pertiga Baki(1/3 Baki)

1

Ibu

Sekiranya si mati meninggalkan

i. Ibu, bapa dan suami

ii. Ibu, bapa dan isteri

4.2 Waris Asobah

Asobah menurut istilah ilmu faraid adalah waris-waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan. Kadar bahagian waris asobah ialah sama ada mengambil semua bahagian dalam harta pusaka atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu atau tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu.

Secara umumnya, waris-waris lelaki adalah mewarisi secara asobah, kecuali dua orang yang mewarisi secara fardu iaitu suami dan saudara lelaki seibu. Manakala dua orang waris yang diberi keistimewaan dalam kaedah pewarisan adalah bapa dan datuk yang boleh mewarisi harta pusaka melalui tiga cara iaitu secara asobah, secara fardu dan secara asobah dan fardu dalam satu masa.

Asobah dibahagikan kepada tiga jenis iaitu

  1. Asobah Bi al-Nafsi

  2. Asobah Bi al-Ghairi

  3. Asobah Ma al-Ghairi.

Cara pembahagian yang melibatkan waris-waris yang mewarisi secara asobah adalah seperti berikut:

  1. Seorang: Sekiranya si mati hanya meninggalkan seorang waris asobah sahaja, waris tersebut akan mewarisi keseluruhan harta pusaka si mati.

  2. Lebih dari Seorang: Sekiranya si mati meninggalkan lebih dari seorang waris yang menerima secara asobah yang sama darjatnya seperti beberapa orang anak lelaki, mereka akan mewarisi secara sama banyak.

  3. Lelaki Bersama Perempuan: Sekiranya si mati meninggalkan waris lelaki dan perempuan yang sama darjat seperti anak lelaki dan anak perempuan, mereka akan mewarisi secara asobah bi al-ghairi iaitu bahagian lelaki dua kali melebihi bahagian perempuan.

  4. Bersama Waris Fardu: Sekiranya si mati meninggalkan waris fardu dan waris asobah, waris asobah akan menerima baki setelah diberikan bahagian waris fardu.

  5. Tidak Mendapat Bahagian: Sekiranya si mati meninggalkan waris fardu dan waris asobah, adakalanya waris asobah tidak mendapat bahagian kerana ia telah dihabiskan oleh waris fardu.

4.2.1 Asobah Bi al-Nafsi

Asobah dengan diri sendiri iaitu seseorang menjadi asobah tanpa memerlukan kepada orang lain untuk mengasobahkannya. Mereka yang mewarisi secara asobah bi al-nafsi ialah semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu. Namun, jika terdapat ramai waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asobah bi al-nafsi ini, maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang lebih jauh akan terdinding atau gugur. Dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Yang bermaksud: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya, apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (Riwayat al-Bukhari)

Contoh 1 Contoh 2 Contoh 3

4.2.2 Asobah Bi Ghairi

Asobah Bi al-Ghairi (asobah bersama dengan orang lain) bermakna seseorang itu mewarisi secara asobah apabila si mati meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian perempuan iaitu lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian. Mereka yang mewarisi secara asobah jenis ini terdiri daripada empat golongan, iaitu:

  1. Anak lelaki dan anak perempuan.
  2. Cucu lelaki dan cucu perempuan dan ke bawah.
  3. Saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan.
  4. Saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.
waris perempuan mewarisi secara asobah jika ada bersama mereka waris lelaki yang sedarjat dengan mereka. Misalnya anak perempuan mewarisi secara asobah ketika bersama dengan anak lelaki, cucu perempuan bersama dengan cucu lelaki dan saudara sebapa perempuan bersama dengan saudara sebapa lelaki.

Dalilnya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ

Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa’: 11)


Contoh 1 Contoh 2

4.2.3 Asobah Ma al-Ghairi

Asobah Ma'a al-Ghairi (asobah berserta dengan orang lain) bermakna waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asobah apabila si mati meninggalkan bersertanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang mengasobahkan saudara-saudara perempuan tersebut menjadi Asabah Bi al-Ghairi.

Asobah selalunya berkaitan dengan waris-waris lelaki. Namun, asobah jenis ini adalah berkaitan dengan waris perempuan dan mereka tidak memerlukan lelaki untuk menjadi asobah. Mereka yang menjadi asobah jenis ini terdiri daripada:

  1. Saudara seibu sebapa perempuan
  2. Saudara sebapa perempuan
Saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa perempuan akan menjadi asobah dengan ada bersertanya waris perempuan yang lain, iaitu dengan mewarisi bersama anak perempuan, cucu perempuan dan ke bawah atau bersama anak perempuan dan cucu perempuan sekali gus dalam satu masa.

Mengikut kaedah asobah jenis ini, anak perempuan tidak menjadi asobah bersama dengan saudara perempuan sebagaimana anak lelaki dan anak perempuan, tetapi anak perempuan tetap mendapat bahagian secara fardu sama ada 1/2 bahagian sekiranya seorang atau 2/3 bahagian sekiranya lebih daripada seorang, manakala hanya saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan sahaja yang menjadi asobah secara bersendirian.

Contoh 1 Contoh 2 Contoh 3

4.3 Dhawi al-Arham

Dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asobah. Ulama’ telah berselisih pendapat tentang kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak. Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asobah yang dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka. Golongan kedua pula berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asobah atau meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan ramai waris dhawi al-arham.

5 Pendindingan

Pendindingan ialah seseorang waris ditegah daripada mewarisi harta pusaka sama ada daripada banyak kepada sedikit atau sama ada terdinding kerana adanya waris-waris lain. Contohnya, suami mendapat 1/2 bahagian sekiranya si mati tidak meninggalkan anak. Sekiranya si mati meninggalkan anak, suami akan mendapat 1/4 bahagian. Ini bermaksud, kewujudan anak telah mendindingkan sebahagian daripada bahagian suami. Begitu juga datuk mendapat asobah, tetapi terdinding sepenuhnya dengan kewujudan bapa. Pendindingan dibahagikan kepada dua:

  1. Pendindingan kurang (Hijab Nuqsan)

  2. Pendindingan semua (Hijab Hirman)

5.1 Pendindingan Kurang

Pendindingan kurang bermakna seseorang waris itu mendapat bahagian daripada banyak kepada sedikit dengan sebab adanya waris lain. Terdapat 7 golongan waris fardu yang terlibat dalam pendindingan kurang iaitu suami, isteri, ibu, cucu perempuan, saudara sebapa perempuan, bapa dan datuk. Sebagai contoh, Ibu mendapat 1/3 bahagian namun terdinding secara berkurangan kepada 1/6 bahagian apabila si mati mempunyai keturunan ke bawah (anak atau cucu) atau si mati mempunyai berbilang saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Keturunan ke bawah iaitu anak, cucu dan seterusnya boleh dikatakan sebagai waris paling utama. Kewujudan mereka boleh menyebabkan bahagian waris-waris lain terdinding sebahagiannya (daripada banyak kepada sedikit), bahkan boleh mendindingkan semua bahagian waris-waris lain yang lebih jauh seperti mana pendindingan semua.

5.2 Pendindingan Semua

Pendindingan semua bermaksud seseorang waris itu gugur sama sekali haknya daripada mendapat harta pusaka dengan sebab adanya waris lain yang lebih hampir atau lebih kuat daripadanya. Contohnya anak lelaki mendindingkan cucu kerana anak lelaki lebih hampir dengan si mati berbanding cucu dan bapa mendindingkan datuk kerana bapa lebih dekat dengan si mati berbanding datuk. Waris-waris yang terlibat dengan pendindingan semua adalah terdiri daripada waris ganti dan waris kedua. Mereka ialah:

  1. Cucu dan ke bawah

  2. Datuk dan ke atas

  3. Nenek dan ke atas

  4. Saudara seibu sebapa

  5. Saudara sebapa

  6. Saudara seibu

  7. Anak saudara dan semua waris yang lebih jauh yang mewarisi secara asobah

Manakala waris-waris yang tidak terlibat dengan pendindingan semua adalah 6 golongan iaitu anak lelaki, anak perempuan, ibu, bapa, suami dan isteri. Sekiranya si mati meninggalkan waris-waris ini, mereka berhak mewarisi harta pusaka.

6 'Aul

‘Aul merupakan salah satu kaedah yang unik dalam ilmu faraid yang mana melalui kaedah ini seseorang waris akan menerima kurang daripada apa yang patut diperolehinya. Ia berlaku dengan bertambahnya angka pembawah dan melalui pertambahan ini akan mengurangkan kadar bahagian waris-waris yang asalnya mendapat bahagian yang lebih banyak.

Kaedah ‘aul bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan bahagian waris fardu yang mana setiap waris fardu berhak mendapat bahagian masing-masing dan tidak boleh dikurangkan bahagian mereka. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu jika dibahagikan mengikut bahagian masing-masing, harta yang ada tidak akan dapat dibahagikan kepada semua waris fardu yang terlibat. Masalah ‘aul hanya terjadi kepada waris fardu sahaja dan tidak melibatkan waris asobah. Ini kerana waris asobah hanya menerima baki sahaja. Tiada bahagian untuk asobah jika tiada baki.

‘Aul hanya berlaku dalam beberapa masalah tertentu sahaja iaitu masalah 6, masalah 12 dan masalah 24 yang akan di‘aulkan kepada angka tertentu seperti berikut:

  1. Masalah 6 di‘aulkan kepada 7

  2. Masalah 6 di‘aulkan kepada 8

  3. Masalah 6 di‘aulkan kepada 9

  4. Masalah 6 di‘aulkan kepada 10

  5. Masalah 12 di‘aulkan kepada 13

  6. Masalah 12 di‘aulkan kepada 15

  7. Masalah 12 di‘aulkan kepada 17

  8. Masalah 24 di‘aulkan kepada 27

Oleh yang demikian, kaedah ‘aul merupakan jalan penyelesaian yang mana angka pembawah dibesarkan sejajar dengan jumlah saham yang diperoleh oleh kesemua waris.

7 Kes Khusus

7.1 Datuk bersama saudara SIB/SB

Kaedah Zaid bin Thabit r.a. digunakan untuk mengira masalah datuk bersama saudara-saudara. Saudara-saudara di sini bermaksud saudara seibu sebapa lelaki (SIBL), saudara seibu sebapa perempuan (SIBP), saudara sebapa lelaki (SBL) dan saudara sebapa perempuan (SBP). Saudara seibu tidak mendapat apa-apa kerana terdinding dengan datuk.

Dua kaedah pembahagian yang melibatkan datuk bersama saudara seibu sebapa atau sebapa adalah:

  1. Sekiranya hanya terdapat datuk dan saudara seibu sebapa atau sebapa tanpa ada waris-waris fardu, datuk mendapat mana yang lebih banyak antara 1/3 atau muqasamah.

  2. Sekiranya bersama-sama datuk dan saudara seibu sebapa atau sebapa wujud waris-waris fardu lain, datuk mendapat yang lebih banyak antara 1/6, 1/3 baki atau muqasamah.

Muqasamah dalam bahasa Arab bermaksud pembahagian atau perkongsian. Dalam istilah ilmu faraid, muqasamah bermaksud sekiranya datuk mewarisi bersama saudara seibu sebapa atau saudara sebapa lelaki, bahagian mereka dibahagi sama banyak tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Datuk dianggap sebagai salah seorang daripada saudara lelaki.Sekiranya datuk mewarisi bersama saudara seibu sebapa atau saudara sebapa perempuan, datuk mengasobahkan mereka mengikut kaedah asobah bi al-ghairi dan juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Terdapat beberapa keadaan dalam pengiraan kes muqasamah seperti berikut:

  1. Datuk bersama saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan atau gabungan saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan.

    • Datuk dianggap sebagai saudara seibu sebapa lelaki dan mengasobahkan saudara seibu sebapa perempuan.

  2. Datuk bersama saudara sebapa lelaki, saudara sebapa perempuan atau gabungan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.

    • Datuk dianggap saudara sebapa lelaki dan mengasobahkan saudara sebapa perempuan.

  3. Datuk bersama kombinasi saudara seibu sebapa dan saudara sebapa sama ada lelaki atau perempuan.

    • Datuk dianggap sebagai saudara seibu sebapa lelaki.
    • Saudara sebapa lelaki dianggap sebagai saudara seibu sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan dianggap sebagai saudara seibu sebapa perempuan. Setelah datuk mendapat bahagian, saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan bertukar kepada statusnya yang asal.

  4. Datuk hanya bersama saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki atau perempuan, saudara seibu sebapa perempuan mendapat fardu. Setelah diberikan bahagian datuk dan saudara seibu sebapa perempuan, bakinya diberikan kepada saudara sebapa jika masih berbaki.

Bagi pengiraan untuk kes muqasamah, terdapat beberapa keadaan:

Contoh 1 Contoh 2 Contoh 3 Contoh 4 Contoh 5

7.2 Umariyyatain

Masalah ‘umariyyatain dinamakan bersempena dengan keputusan yang dibuat oleh Saidina Umar r.a. dalam dua kes khusus iaitu sekiranya si mati meninggalkan ibu, bapa dan isteri atau ibu, bapa dan suami.

Ibu akan mendapat 1/3 baki setelah diberi bahagian suami atau isteri. Masalah ini juga disebut sebagai Gharrawain yang bermaksud dua yang terang iaitu sebagai gambaran tentang jelas dan masyhurnya masalah ini sehingga diterima pakai oleh jumhur ulama.

Dalam kes pertama iaitu si mati meninggalkan ibu, bapa dan isteri, isteri mendapat 1/4 bahagian kerana si mati tidak mempunyai keturunan ke bawah dan baki setelah diberi bahagian isteri adalah 3/4 bahagian. Ibu mendapat 1/3 daripada 3/4 bersamaan 1/4 (1/3 x 3/4 = 1/4 ). Ini bermakna, ibu mendapat 1/4 daripada keseluruhan harta pusaka.

Dalam kes kedua, si mati meninggalkan ibu, bapa dan suami, suami mendapat 1/2 bahagian kerana si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah dan baki setelah diberi bahagian suami ialah 1/2 bahagian. Ibu mendapat 1/3 daripada 1/2 bersamaan 1/6 (1/3 x 1/2 = 1/6). Ini bermakna, ibu mendapat 1/6 daripada keseluruhan harta pusaka.

Kes 1: Si mati meningggalkan ibu, bapa dan isteri
Kes 2: Si mati meningggalkan ibu, bapa dan suami

7.3 Musytarikah

Masalah musytarikah atau perkongsian adalah masalah berkaitan bahagian saudara seibu sebapa dikongsikan dengan bahagian yang diwarisi oleh saudara seibu sebanyak 1/3 bahagian. Keadaan ini berlaku apabila si mati meninggalkan suami, ibu atau nenek, saudara seibu sebapa lelaki sahaja atau bersama saudara seibu sebapa perempuan dan 2 orang atau lebih saudara seibu lelaki atau perempuan.

Secara biasa, saudara seibu sebapa lelaki akan mewarisi secara asobah. Oleh kerana kesemua harta telah dihabiskan oleh ketiga-tiga waris fardu, saudara seibu sebapa tidak mendapat apa-apa, berbanding saudara seibu yang mendapat 2/6 bahagian.

Pada awalnya Saidina Umar r.a. telah memutuskan masalah ini dengan meletakkan kedudukan saudara seibu sebapa lelaki sebagai asobah dan tidak mendapat apa-apa bahagian. Namun, jika diamati, saudara seibu sebapa lebih layak menerima pusaka berbanding saudara seibu berdasarkan kekuatan hubungannya dengan si mati. Bantahan telah dibuat oleh saudara seibu sebapa dengan alasan sekiranya bapa mereka tidak diambil kira, mereka mempunyai ibu yang sama. Oleh itu sewajarnya mereka mewarisi bersama saudara seibu.

Berdasarkan kepada alasan tersebut, Saidina Umar r.a. telah mengubah pembahagian asal dengan menganggap saudara seibu sebapa sabagai saudara seibu dan membahagikan 1/3 bahagian yang diperoleh oleh saudara seibu itu kepada saudara-saudara si mati sama banyak.

Contoh 1: Si mati meningggalkan suami, ibu, SIBL dan 2 SIL
Contoh 2: Si mati meningggalkan suami, ibu, SIBL, 2 SIBP dan 2 SIL

8 Munasakhat

Munasakhat berasal daripada perkataan nasakha dalam bahasa Arab yang bermaksud pindah, hapus atau batal. Menurut istilah ilmu faraid, munasakhat bermaksud sebahagian daripada waris yang menerima harta pusaka meninggal dunia sebelum harta pusaka seseorang si mati dibahagikan kepadanya dan bahagiannya dipindahkan kepada waris lain.

Contohnya, si mati (si mati 1) meninggalkan seorang isteri, ibu, tiga anak lelaki dan dua anak perempuan. Sebelum sempat harta pusaka tersebut dibahagikan kepada waris-waris yang berhak, ibu si mati (si mati 2) meninggal dunia menyebabkan bahagian si mati 2 tersebut berpindah kepada waris-warisnya pula. Dalam keadaan ini, ia boleh disebut sebagai kematian berlapis yang mana dalam satu harta pusaka wujud dua kematian, iaitu kematian si mati 1 (pemilik harta) dan kematian si mati 2 (waris si mati 1) sebelum harta pusaka si mati 1 dibahagikan.

Kematian berlapis berlaku disebabkan oleh dua keadaan iaitu sama ada ia sememangnya telah ditakdirkan atau disengajakan kerana waris melengah-lengahkan pembahagian harta pusaka.

9 Takharuj

Takharuj berasal daripada perkataan kharaja dalam bahasa Arab yang bermaksud keluar. keempat-empat mazhab bersepakat menerima kaedah takharuj. Salah satu nas al-Quran yang menjadi sandaran ialah daripada firman ALLAH SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 128:

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

Yang bermaksud: “maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”

Takharuj bermakna ahli waris menarik diri daripada menerima bahagian harta pusaka sama ada sebahagian atau kesemuanya dengan memberikan bahagiannya itu kepada waris lain sama ada dengan balasan atau tanpa balasan.
Konsep ini dibenarkan dalam Islam dengan syarat semua waris yang terlibat bersetuju. Takharuj sebenarnya memberi ruang kepada waris-waris membahagikan harta dengan cara terbaik. Takharuj juga adalah sebahagian dari hukum faraid itu sendiri kerana sebarang penolakan dan penarikan diri waris dibuat dalam batasan hak dan kadar yang ditetapkan oleh syarak.

Dalam erti kata lain, takharuj boleh disamakan dengan muafakat, ‘mutual agreement’, sulh dan persetujuan. Asas keharusan pembahagian sama rata setelah persetujuan bersama ini adalah kerana Islam membenarkan al-hibah (pemberian), al-ibra’ (pengguguran hak) dan al-sulh (perdamaian).

Takharuj berlaku di zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang mana Abdul Rahman bin ‘Auf telah menceraikan isterinya yang bernama Tumadhir binti al-Asbagh pada masa beliau sedang sakit yang membawa kematiannya (marad al-maut). Kemudian Abdul Rahman meninggal dunia ketika Tumadhir masih dalam iddah. Saidina Uthman r.a. telah memberi harta pusaka kepada Tumadhir bersama dengan tiga orang isteri Abdul Rahman yang lain. Semasa proses pembahagian, telah wujud persetujuan di antara waris-waris yang mana bahagian Tumadhir sebanyak 1/4 bahagian daripada 1/8 bahagian digantikan dengan 93,000 dinar.

Dalam melaksanakan takharuj, beberapa perkara perlu difahami:

  1. Penarikan diri daripada menerima harta pusaka boleh dibuat oleh seorang waris atau lebih daripada seorang. Manakala waris yang menerima pula boleh terdiri daripada seorang, lebih daripada seorang atau kesemua waris yang tinggal.

  2. Waris yang menarik diri boleh bersetuju sama ada untuk menerima balasan, imbuhan atau ganti rugi sebagai ganti tidak mengambil bahagian dalam harta pusaka atau menolak bahagiannya dengan sukarela tanpa apa-apa balasan.

  3. Balasan, imbuhan atau ganti rugi boleh diberikan kepada waris yang menarik diri sama ada diambil daripada harta waris yang menerima penolakan tersebut atau diberikan kepada waris yang menarik diri itu sebahagian daripada harta pusaka.

  4. Sekiranya waris yang menarik diri mencapai persetujuan dengan seorang, atau beberapa orang atau kesemua waris yang lain dengan bayaran tertentu kepadanya oleh waris-waris tersebut yang diambil daripada harta mereka, bermakna seolah-olah waris yang menarik diri telah menjual bahagiannya kepada waris lain.

  5. Sekiranya waris yang menarik diri memberikan bahagiannya kepada waris lain tanpa apa-apa balasan kepadanya, iaitu menarik diri secara sukarela, seolah-olah waris yang menarik diri itu menghibahkan bahagiannya kepada waris yang menerima.

  6. Sekiranya seseorang waris bersetuju untuk menarik diri daripada menerima harta pusaka dengan mengambil sebahagian daripada harta pusaka, persetujuan ini tidak boleh berlaku di antara seorang dengan seorang atau dengan beberapa orang waris lain, tetapi mestilah melibatkan semua orang waris yang berhak mendapat harta pusaka tersebut.

Terdapat tiga bentuk penyelesaian secara takharuj seperti berikut:

  1. Takharuj antara dua orang waris secara percuma atau dengan bayaran.

  2. Takharuj antara seorang waris dengan waris-waris lain dengan imbalan bahagian tertentu daripada harta pusaka seperti rumah dan haknya dalam harta-harta lain diserahkan semuanya kepada waris-waris lain. Rumah itu akan menjadi miliknya seorang dan baki harta pusaka akan dibahagikan kepada waris-waris lain mengikut persetujuan yang dibuat seolah-olah waris yang menarik diri tidak wujud.

  3. Takharuj dengan bayaran dari harta lain yang mana pembayaran dibuat secara sama rata sesama waris atau mengikut kadar bahagian mereka dalam pusaka atau mengikut kadar tertentu yang dipersetujui. Bahagian waris yang menarik diri akan dibahagi sama rata atau mengikut hukum faraid atau mengikut kadar sumbangan yang diberikan oleh setiap waris.

Secara kesimpulannya, hukum faraid telah menggariskan waris-waris yang berhak serta bahagian mereka dalam harta pusaka. Selain dari pembahagian mengikut kaedah faraid, takharuj merupakan jalan penyelesaian alternatif. Ia merupakan perdamaian atau muafakat sesama waris dengan berasaskan kepada prinsip reda dan tolak ansur. Takharuj memberi peluang kepada waris-waris memilih cara penyelesaian terbaik dalam pembahagian harta pusaka mereka.


10 Baitulmal

Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak. Berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7: “Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asobah, maka hendaklah diwarisi oleh dhawi al-arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dhawi al-arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bila mana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil.”

Dalam kitab al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa al-Sunnah, karangan al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni, cetakan ke-5, tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi’e bahawa dhawi al-arham atau para kerabat tidak berhak mendapat pusaka. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashab al-furud atau asobah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dhawi al-arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.

Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi'e ialah:

  1. Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syarak dan qat'ie dari al-Qur'an atau al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dhawi al-arham untuk mendapat pusaka. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dhawi al-arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil.

  2. Rasulullah s.a.w. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun." Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.

  3. Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashab al-furud ataupun para asobah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan khusus (peribadi).

Baitumal mewarisi harta pusaka seseorang si mati melalui keadaan-keadaan seperti berikut:

  1. Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Dalam keadaan ini, semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.

    Contoh: Si mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri, ibu bapa dan tidak pula mempunyai saudara mara, semua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.

  2. Sekiranya si mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti waris dhawi al-arham atau berlainan agama, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.

    Contoh:

    1. Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

    2. Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

    3. Si mati seorang muallaf. Ibu bapa dan semua saudara mara bukan beragama Islam. Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.

  3. Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.

    Contoh:

    1. Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

    2. Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada. Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.

    3. Si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

11 Pentadbiran Harta Pusaka

Dalam menguruskan harta pusaka seseorang si mati, beberapa langkah boleh diikuti seperti berikut:

  1. Lantik Pentadbir – Waris-waris boleh bersepakat untuk melantik seorang pentadbir atau suatu pihak untuk mentadbir harta pusaka si mati. Pentadbir yang diamanahkan akan melaksanakan urusan pusaka si mati hingga selesai.

  2. Kenalpasti Waris-Waris – Siapa waris-waris yang berhak dan yang tidak berhak ke atas harta pusaka si mati.

  3. Kenalpasti Harta-Harta – Apa harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati dan menentukan harta-harta tersebut harta pusaka atau tidak.

  4. Kenalpasti Kos Pengurusan Jenazah – Siapa yang membayar kos urusan jenazah si mati sehingga dikebumikan adakah melalui khairat kematian atau pendahuluan oleh waris. Ia perlu digantikan daripada harta pusaka si mati jika berbentuk hutang.

  5. Kenalpasti Hutang-Piutang – Apakah hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati, sama ada hutang dengan Allah (zakat, fidyah, kaffarah, haji) atau hutang dengan manusia (pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi dll.)

  6. Beri Kebenaran kepada Waris – Waris-waris boleh bersepakat untuk memberikan kebenaran kepada waris-waris lain yang menduduki harta pusaka atau memakan hasil sementara proses pentadbiran harta pusaka dilaksanakan.

  7. Mohon Perintah Faraid – Pentadbir yang dilantik boleh membuat permohonan perintah faraid di Mahkamah Syariah untuk penentuan waris-waris yang berhak ke atas harta pusaka si mati. Selain perintah faraid, Mahkamah Syariah juga berbidang kuasa untuk mengesahkan wakaf, wasiat, hibah dan harta sepencarian yang berkaitan dengan si mati.

  8. Mohon Pembahagian Pusaka -

    1. Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) - Mentadbir harta pusaka tak alih atau campuran di antara harta tak alih dan harta alih yang nilanya RM2 juta dan ke bawah.

    2. Amanah Raya Berhad (ARB) - Mentadbir harta pusaka alih sahaja yang nilainya RM600,000 dan ke bawah.

    3. Mahkamah Tinggi Sivil - Mentadbir harta pusaka alih dan tak alih yang nilainya lebih RM2 juta atau mentadbir harta pusaka alih sahaja lebih yang nilainya lebih RM600,000.

×

Penafian:

Pengiraan faraid ini hanya sebagai rujukan dan bagi tujuan pendidikan sahaja. la tidak sah digunakan dalam tuntutan harta pusaka dan perbicaraan di Mahkamah. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan di atas dengan pihak yang berkenaan. Majlis Agama Islam Selangor tidak bertanggungjawab atas sebarang isu yang timbul disebabkan oleh pengiraan dan penggunaan K-Faraid MAIS ini.