Definisi Hibah

Suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

Dalil Pensyariatan Hibah

Al-Quran

Firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Yang bermaksud: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 4)

Al-Hadis

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 تَهَادُوا تَحَابُّوا

Yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Riwayat Al-Bukhari)

Rukun Hibah

  • Pemberi hibah;
  • Penerima hibah;
  • Barang yang dihibah; dan
  • Sighah (lafaz akad hibah)

Syarat Pemberi Hibah

  • Pemilik kepada barangan;
  • Mempunyai kelayakan untuk memberi hibah; dan
  • Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya.

Syarat Penerima Hibah

  • Berkelayakan menerima hibah termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang tak sempurna akal atau OKU. Namun, penjaga atau pemegang amanah boleh dilantik bagi pihak mereka;
  • Penerima hibah wujud ketika hibah dibuat; dan
  • Boleh menguasai harta yang dihibahkan (qabd).

Syarat Barang Yang Dihibah

  • Wujud ketika hibah dibuat;
  • Barangan tersebut mestilah barangan yang bernilai; dan
  • Mestilah daripada hak milik pemberi hibah.

Syarat Akad Hibah

  • Ijab dan qabul; dan
  • Tidak bertempoh.

Kadar Harta Yang Boleh Dihibah

Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu. Bahkan, menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikirannya menghibahkan keseluruhan hartanya. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya berlaku adil kepada anak-anak sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقوا اللهَ، واعدِلوا بين أولادِكم

Yang bermaksud: “Bertaqwalah kepada Allah s.w.t., dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Elemen Qabd Dalam Hibah

Qabd adalah tindakan penerima hibah untuk menerima serahan, memegang atau menguasai barang yang dihibahkan oleh penghibah dan menjadikan barang itu milikannya. Qabd merupakan keperluan kepada hibah itu berkuatkuasa dan penerima hibah melakukan tasarruf.

Hibah Semasa Marad Al-Maut

Pemberi hibah yang melakukan hibah dalam keadaan marad al-maut iaitu keadaan di mana pemberi hibah sedang sakit tenat atau sakit yang membawa kepada kematian, maka hibahnya tidak boleh melebihi daripada satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris. Ini memberi maksud bahawa hukum wasiat adalah terpakai. Sekiranya diberikan kepada ahli waris sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih maka ia tertakluk kepada keizinan atau persetujuan daripada waris yang lain.

Pembatalan Hibah

Hukum asal hibah adalah memberi implikasi pemilikan yang lazim kepada penerima hibah. Oleh itu, pembatalan hibah adalah tidak boleh dilakukan. Ia sebagaimana hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 فإنَّ العائدَ في هبتِه كالكلبِ يعودُ في قيئِه

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Namun, para fuqaha’ memberikan pengecualian iaitu dengan mengharuskan pembatalan hibah daripada seorang bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه

Yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud)

Perkhidmatan Hibah di MAIS

Pengurusan Hibah

MAIS berbidang kuasa dan berkepakaran menyediakan perkhidmatan penyediaan Dokumen Perisytiharan Hibah dan pelaksanaan hibah selaras dengan Hukum Syarak dan undang-undang sedia ada.

Penyediaan Dokumen Perisytiharan Hibah

Penyediaan dokumen hibah perisytiharan hibah adalah satu kaedah yang membolehkan harta seseorang diisytiharkan untuk diagihkan kepada insan yang tersayang pada masa hidupnya terlebih dahulu. 

Jenis-Jenis Hibah

  • Hibah Mutlak;
  • Hibah Amanah; dan
  • Hibah Bersyarat

Klausa Utama dalam Hibah

  • Pengakuan waras fikiran dan kerelaan pemberi hibah;
  • Perisytiharan harta yang ingin dihibahkan;
  • Pernyataan pemberian harta yang dihibahkan;
  • Pelantikan Wasi dan Pemegang Amanah;
  • Tandatangan pemberi hibah dan saksi-saksi; dan
  • Tandatangan perakuan persetujuan penerima hibah dan saksi-saksi.

Fi Penyediaan dan Penyimpanan Dokumen Perisytiharan Hibah

Fi penyediaan dan penyimpanan dokumen perisytiharan hibah adalah RM 300 bagi seorang penghibah dan setiap satu daripada harta yang dihibahkan.

Pelaksanaan Hibah

Sebagai Wasi atau pemegang amanah yang dilantik selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, MAIS akan melaksanakan atau menyaksikan proses perisytiharan hibah dan pindah milik harta yang dihibahkan dengan adil, telus dan profesional kepada penghibah dan penerima hibah.

Fi Pelaksanaan Hibah

Fi pelaksanaan hibah adalah 1% dari nilai harta yang dihibahkan. Fi ini tidak termasuk disbursement, bayaran wajib kepada agensi dan kos Mahkamah (sekiranya berkaitan).

KENAPA MEMBUAT HIBAH DI MAIS?

  • MAIS boleh dilantik sebagai pemegang amanah bagi penerima hibah kanak-kanak, orang tak sempurna akal atau OKU;
  • Dokumentasi hibah adalah langkah terbaik mengelakkan kesulitan di kemudian hari; dan
  • MAIS berkepakaran dalam melaksanakan pindah milik harta yang dihibahkan.

Permohonan  Dan Pelaksanaan Hibah

Melalui Borang Permohonan. Muat turun Borang Hibah

Kebaikan Hibah

  • Amalan sunat yang dianjurkan oleh Islam;
  • Memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturrahim;
  • Pemberian semasa hidup kepada sesiapa yang dikehendaki;
  • Pemberian tanpa had dan sunat menyamaratakan kepada anak-anak;
  • Penghibah masih boleh menikmati harta yang dihibahkan;
  • Alternatif penyelesaian masalah pembahagian secara faraid;
  • Dibuat mengikut kesesuaian dan taraf hidup penerima; dan
  • Perceraian tidak menjejaskan hak kepada pemberian hibah.

Hikmah Disyariatkan Hibah

  • Melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
  • Membantu menampung keperluan waris atau orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik.
  • Mengeratkan ikatan silaturrahim sesama ahli waris.