• Ilmu yang Dituntut untuk Dipelajari

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تعلَّموا الفرائضَ وعلِّموها الناسَ ، تعلَّموا القرآنَ وعلِّموه الناسَ؛ فإِنَّي امرؤٌ مقبوضٌ ، والعلمُ سينقبِضُ ، وتظهرُ الفتنُ ، حتى يختلِفَ اثنانِ في فَريضَةٍ ،لايجدانِ أحدًا يَفْصِلُ بيينَهما 

Yang bermaksud: “Pelajarilah faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia, pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia, Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu tersebut akan digenggam (dicabut), dan nanti akan timbul fitnah-fitnah, sehingga nanti apabila dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara kedua-duanya.” (Riwayat al-Nasa’ie)

  • Ilmu yang Akan Dilupakan dan Dicabut

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تعلَّموا الفرائضَ وعلِّموها الناسَ فإنه نصفُ العلمِ وهو يُنسَى وهو أولُ ما يُنتَزَعُ من أمتي

Yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.” (Riwayat Ibnu Majah)

  • Ilmu yang Sangat Tinggi Berbanding Ilmu-Ilmu Lain

Daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العِلْمُ ثَلاثةٌ، وما سوى ذلك فهو فَضْلٌ؛ آيةٌ مُحكَمةٌ، أو سُنَّةٌ قائمةٌ، أو فَريضةٌ عادلةٌ

Yang bermaksud: “Ilmu itu ada tiga, selainnya adalah lebihan sahaja, iaitu ayat Muhkamat (ayat hukum yang tidak dimansuhkan), sunnah yang sahih yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dan ilmu pembahagian harta pusaka yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

  • Ilmu yang Merupakan Sebahagian Daripada Agama

Saidina Umar r.a. sangat mengambil berat terhadap ilmu faraid sama ada dari segi pembelajarannya atau pengajarannya  dan pernah berkata:

تعلموا الفرائض فانها من دينكم

Maksudnya: “Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu.”

  • Ilmu yang Dikuasai oleh Para Sahabat

Para sahabat menguasai antaranya adalah Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud dan Zaid bin Thabit r.anhum. Nabi SAW sendiri mengakui keilmuan Zaid bin Thabit dalam ilmu faraid. Baginda bersabda melalui hadis daripada Anas bin Malik r.a.:

أفرَضُكم زيدُ بنُ ثابتٍ

Yang bermaksud: “Orang yang paling pandai ilmu faraid daripada kamu ialah Zaid bin Tsabit.” (Riwayat al-Tirmizi)