Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

“Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Subseksyen 81(2), (3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

“(2) Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal.

(3) Semua wang dan harta dalam Baitulmal hendaklah terletak hak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini.

(4) Walau apa pun peraturan yang disebut dalam subseksyen (3), mana-mana pelaburan, aset atau kumpulan wang yang terletak hak pada Majlis boleh dijual, dihasilkan dan dilupuskan, dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa bagi pelaburan wang amanah dan Hukum Syarak.”

Subseksyen 13(1), Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

“Dengan syarat jika ada undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubungan dengan Baitulmal, Pentadbir Tanah hendaklah sebelum membahagikan apa-apa bahagian harta pusaka si mati beragama Islam, memuaskan dirinya bahawa apa-apa bahagian harta pusaka yang kena dibayar kepada Baitulmal telah dibayar sewajarnya atau peruntukan sesuai telah dibuat bagi pembayarannya.”