Asobah menurut istilah ilmu faraid adalah waris-waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan.

Kadar bahagian waris asobah ialah sama ada mengambil semua bahagian dalam harta pusaka atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu atau tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu.

Secara umumnya, waris-waris lelaki adalah mewarisi secara asobah, kecuali dua orang yang mewarisi secara fardu iaitu suami dan saudara lelaki seibu. Manakala dua orang waris yang diberi keistimewaan dalam kaedah pewarisan adalah bapa dan datuk yang boleh mewarisi harta pusaka melalui tiga cara iaitu secara asobah, secara fardu dan secara asobah dan fardu dalam satu masa.

Asobah dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

  1. Asobah Bi al-Nafsi
  2. Asobah Bi al-Ghairi
  3. Asobah Ma al-Ghairi

Cara pembahagian yang melibatkan waris-waris yang mewarisi secara asobah adalah seperti berikut:

  1. Seorang

Sekiranya si mati hanya meninggalkan seorang waris asobah sahaja, waris tersebut akan mewarisi keseluruhan harta pusaka si mati.

  1. Lebih dari Seorang

Sekiranya si mati meninggalkan lebih dari seorang waris yang menerima secara asobah yang sama darjatnya seperti beberapa orang anak lelaki, mereka akan mewarisi secara sama banyak.

  1. Lelaki Bersama Perempuan

Sekiranya si mati meninggalkan waris lelaki dan perempuan yang sama darjat seperti anak lelaki dan anak perempuan, mereka akan mewarisi secara asobah bi al-ghairi iaitu bahagian lelaki dua kali melebihi bahagian perempuan.

  1. Bersama Waris Fardu

Sekiranya si mati meninggalkan waris fardu dan waris asobah, waris asobah akan menerima baki setelah diberikan bahagian waris fardu.

  1. Tidak Mendapat Bahagian

Sekiranya si mati meninggalkan waris fardu dan waris asobah, adakalanya waris asobah tidak mendapat bahagian kerana ia telah dihabiskan oleh waris fardu.

Asobah Bi al-Nafsi

Asobah dengan diri sendiri iaitu seseorang menjadi asobah tanpa memerlukan kepada orang lain untuk mengasobahkannya.

Mereka yang mewarisi secara asobah bi al-nafsi ialah semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu.

Namun, jika terdapat ramai waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asobah bi al-nafsi ini, maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang lebih jauh akan terdinding atau gugur.

Dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Yang bermaksud: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya, apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (Riwayat al-Bukhari)

Asobah Bi al-Ghairi

Asobah bersama dengan orang lain iaitu seseorang mewarisi harta pusaka apabila si mati meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian perempuan.

Mereka terdiri daripada 4 golongan iaitu anak lelaki dan perempuan, cucu lelaki dan cucu perempuan, saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.

Dengan mewarisi secara asobah, waris perempuan tersebut tidak lagi mewarisi secara fardu. Misalnya bagi anak perempuan, jika seorang diri dia akan mendapat secara fardu iaitu 1/2 bahagian, tetapi dengan adanya anak lelaki yang mewarisi bersamanya, kedua-dua mereka akan mewarisi secara asobah bi al-ghairi. 

Dalilnya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ

Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.”

(Surah al-Nisa’: 11)

Asobah Ma’a al-Ghairi

Asobah biasanya adalah berkaitan dengan waris-waris lelaki, tetapi asobah ma’a al-ghairi atau asobah berserta dengan orang lain bermaksud waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asobah apabila si mati meninggalkan bersamanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang mengasobahkan saudara-saudara perempuan tersebut menjadi asobah ma’a al-ghairi.

Mengikut kaedah asobah ini, anak perempuan tidak menjadi asobah bersama dengan saudara perempuan sebagaimana anak lelaki dan anak perempuan, tetapi anak perempuan tetap mendapat bahagian secara fardu sama ada 1/2 jika seorang atau 2/3 bahagian jika lebih seorang. Manakala saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan sahaja yang menjadi asobah secara bersendirian.

Contoh:

2
1 Anak Perempuan1/21
2 SIBPAsobah1