Dalam menguruskan harta pusaka seseorang si mati, beberapa langkah boleh diikuti seperti berikut:

  1. Lantik Pentadbir – Waris-waris boleh bersepakat untuk melantik seorang pentadbir atau suatu pihak untuk mentadbir harta pusaka si mati. Pentadbir yang diamanahkan akan melaksanakan urusan pusaka si mati hingga selesai.
  1. Kenal Pasti Waris-Waris – Siapa waris-waris yang berhak dan yang tidak berhak ke atas harta pusaka si mati. 
  1. Kenal Pasti Harta-Harta – Apa harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati dan menentukan harta-harta tersebut harta pusaka atau tidak.
  1. Kenal Pasti Kos Urusan Jenazah – Siapa yang membayar kos urusan jenazah si mati sehingga dikebumikan adakah melalui khairat kematian atau pendahuluan oleh waris. Ia perlu digantikan daripada harta pusaka si mati jika berbentuk hutang.
  1. Kenal Pasti Hutang-Piutang – Apakah hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati, sama ada hutang dengan Allah (zakat, fidyah, kaffarah, haji) atau hutang dengan manusia (pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi dll.)
  1. Kenal Pasti Tuntutan Harta Sepencarian –  Sama ada balu / suami si mati ingin membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah atau tidak. 
  1. Kenal Pasti Wasiat – Sama ada si mati ada meninggalkan wasiat atau tidak. Jika ada, waris hendaklah memohon perintah pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah.
  1. Beri Kebenaran kepada Waris – Waris-waris boleh bersepakat untuk memberikan kebenaran kepada waris-waris lain yang menduduki harta pusaka atau memakan hasil sementara proses pentadbiran harta pusaka dilaksanakan.
  1. Mohon Perintah Faraid – Pentadbir yang dilantik boleh membuat permohonan perintah faraid di Mahkamah Syariah untuk penentuan waris-waris yang berhak ke atas harta pusaka si mati.
  1. Mohon Pembahagian Pusaka –
    • Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) – Mentadbir harta pusaka tak alih atau campuran di antara harta tak alih dan harta alih yang nilainya RM 2 juta dan ke bawah.
    • Amanah Raya Berhad (ARB)  – Mentadbir harta pusaka alih sahaja yang nilainya RM 600,000 dan ke bawah.
    • Mahkamah Tinggi Sivil – Mentadbir harta pusaka alih dan tak alih yang nilainya lebih RM2 juta atau mentadbir harta pusaka alih sahaja yang nilainya lebih RM600,000.