SI MATI

Orang yang meninggal dunia dan diwarisi hartanya sama ada mati secara hakiki atau hukmi.

  • Mati hakiki ialah kematian yang nyata dan tidak dipertikaikan kebenarannya.
  • Mati hukmi ialah kematian yang tidak dapat dibuktikan dengan nyata, tetapi telah dihukumkan mati oleh Hakim melalui anggapan kematian.

WARIS

Orang yang berhak menerima pusaka sama ada dengan sebab perkahwinan, keturunan, pembebasan hamba dan Islam.

  • Ikatan perkahwinan yang sah di sisi Hukum Syarak merupakan salah satu sebab yang membolehkan seseorang itu menerima pusaka sama ada suami atau isteri.
  • Seseorang waris juga boleh mewarisi pusaka dengan sebab keturunan hakiki, iaitu pertalian darah dengan si mati sama ada keturunan ke bawah (furu’) iaitu anak, cucu dan ke bawah, keturunan ke atas (usul) iaitu ibu, bapa, nenek, datuk dan ke atas, waris-waris sisi si mati (hawasyi) seperti saudara, anak saudara dan ke bawah, waris sisi kepada bapa si mati iaitu bapa saudara, sepupu dan waris datuk si mati iaitu datuk saudara, anak kepada datuk saudara dan seterusnya.
  • Di samping itu, tuan yang membebaskan hamba berhak mendapat harta pusaka bekas hamba yang dibebaskan itu jika bekas hambanya tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusakanya.
  • Manakala seseorang Islam yang meninggal dunia namun tiada waris, maka harta pusakanya akan diserahkan kepada Baitulmal.

HARTA

Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.

Termasuk Harta Pusaka:

  • Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
  • Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;
  • Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;
  • Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
  • Penama Takaful; dan
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.

Bukan Harta Pusaka:

  • Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah;
  • Khairat kematian;
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian;
  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati;
  • Pencen terbitan; dan
  • Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)