Dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asobah.

Ulama’ telah berselisih pendapat tentang kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak.

Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asobah yang dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka.

Golongan kedua pula berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asobah atau meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan ramai waris dhawi al-arham.