Takharuj berasal daripada perkataan kharaja dalam bahasa Arab yang bermaksud keluar. keempat-empat mazhab bersepakat menerima kaedah takharuj. Takharuj bermakna ahli waris menarik diri daripada menerima bahagian harta pusaka sama ada sebahagian atau kesemuanya dengan memberikan bahagiannya itu kepada waris lain sama ada dengan balasan atau tanpa balasan.

Dalilnya adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 128:

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

Yang bermaksud: “maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”

Konsep ini dibenarkan dalam Islam dengan syarat semua waris yang terlibat bersetuju. Takharuj sebenarnya memberi ruang kepada waris-waris membahagikan harta dengan cara terbaik. Takharuj juga adalah sebahagian dari hukum faraid itu sendiri kerana sebarang penolakan dan penarikan diri waris dibuat dalam batasan hak dan kadar yang ditetapkan oleh syarak.

Dalam erti kata lain, takharuj boleh disamakan dengan muafakat, ‘mutual agreement’, sulh dan persetujuan. Asas keharusan pembahagian sama rata setelah persetujuan bersama ini adalah kerana Islam membenarkan al-hibah (pemberian), al-ibra’ (pengguguran hak) dan al-sulh (perdamaian).

Takharuj berlaku di zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang mana Abdul Rahman bin ‘Auf telah menceraikan isterinya yang bernama Tumadhir binti al-Asbagh pada masa beliau sedang sakit yang membawa kematiannya (marad al-maut). Kemudian Abdul Rahman meninggal dunia ketika Tumadhir masih dalam iddah. Saidina Uthman r.a. telah memberi harta pusaka kepada Tumadhir bersama dengan tiga orang isteri Abdul Rahman yang lain. Semasa proses pembahagian, telah wujud persetujuan di antara waris-waris yang mana bahagian Tumadhir sebanyak 1/4 bahagian daripada 1/8 bahagian digantikan dengan 93,000 dinar.

Dalam melaksanakan takharuj, beberapa perkara perlu difahami:

  1. Penarikan diri daripada menerima harta pusaka boleh dibuat oleh seorang waris atau lebih daripada seorang. Manakala waris yang menerima pula boleh terdiri daripada seorang, lebih daripada seorang atau kesemua waris yang tinggal.
  1. Waris yang menarik diri boleh bersetuju sama ada untuk menerima balasan, imbuhan atau ganti rugi sebagai ganti tidak mengambil bahagian dalam harta pusaka atau menolak bahagiannya dengan sukarela tanpa apa-apa balasan.
  1. Balasan, imbuhan atau ganti rugi boleh diberikan kepada waris yang menarik diri sama ada diambil daripada harta waris yang menerima penolakan tersebut atau diberikan kepada waris yang menarik diri itu sebahagian daripada harta pusaka.
  1. Sekiranya waris yang menarik diri mencapai persetujuan dengan seorang, atau beberapa orang atau kesemua waris yang lain dengan bayaran tertentu kepadanya oleh waris-waris tersebut yang diambil daripada harta mereka, bermakna seolah-olah waris yang menarik diri telah menjual bahagiannya kepada waris lain.
  1. Sekiranya waris yang menarik diri memberikan bahagiannya kepada waris lain tanpa apa-apa balasan kepadanya, iaitu menarik diri secara sukarela, seolah-olah waris yang menarik diri itu menghibahkan bahagiannya kepada waris yang menerima.
  1. Sekiranya seseorang waris bersetuju untuk menarik diri daripada menerima harta pusaka dengan mengambil sebahagian daripada harta pusaka, persetujuan ini tidak boleh berlaku di antara seorang dengan seorang atau dengan beberapa orang waris lain, tetapi mestilah melibatkan semua orang waris yang berhak mendapat harta pusaka tersebut.

Terdapat tiga bentuk penyelesaian secara takharuj seperti berikut:

  1. Takharuj antara dua orang waris secara percuma atau dengan bayaran.
  1. Takharuj antara seorang waris dengan waris-waris lain dengan imbalan bahagian tertentu daripada harta pusaka seperti rumah dan haknya dalam harta-harta lain diserahkan semuanya kepada waris-waris lain. Rumah itu akan menjadi miliknya seorang dan baki harta pusaka akan dibahagikan kepada waris-waris lain mengikut persetujuan yang dibuat seolah-olah waris yang menarik diri tidak wujud.
  1. Takharuj dengan bayaran dari harta lain yang mana pembayaran dibuat secara sama rata sesama waris atau mengikut kadar bahagian mereka dalam pusaka atau mengikut kadar tertentu yang dipersetujui. Bahagian waris yang menarik diri akan dibahagi sama rata atau mengikut hukum faraid atau mengikut kadar sumbangan yang diberikan oleh setiap waris.

Hukum faraid telah menetapkan waris-waris yang berhak serta bahagian mereka dalam harta pusaka. Selain dari pembahagian mengikut kaedah faraid, takharuj merupakan jalan penyelesaian alternatif muafakat sesama waris dengan berasaskan kepada prinsip reda-meredai dan tolak ansur. Takharuj memberi peluang kepada waris-waris memilih cara penyelesaian terbaik terutama yang melibatkan nilai ekonomik sesuatu harta pusaka dan kelangsungan hidup waris-waris.