HARTA merupakan keperluan asasi kepada manusia. Tanpa harta, seseorang itu sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memungkinkan hidupnya menjadi melarat. Tetapi sekiranya seseorang itu memiliki harta, mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan baik dan mengecap kebahagiaan.

Namun, apa yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini ialah terdapat pemilik harta tidak membuat perancangan dan pengurusan harta yang betul. Tidak dinafikan, ada dalam kalangan masyarakat yang mengambil berat tentang pemerolehan harta dari segi halal dan haramnya. Tetapi sebahagian masyarakat yang lain tidak mempedulikan punca rezeki yang diperolehi.

Dengan sebab itu, umat Islam amatlah digalakkan membuat perancangan dan pengurusan harta kerana dalam rezeki seseorang ada hak orang lain dan setiap manusia perlu mengelakkan dirinya daripada memakan harta secara haram.

Perancangan harta yang bijak mampu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada waris atau mereka yang menikmati harta tersebut. Jika tiada perancangan atau tidak diurus dengan bijak, ia akan menimbulkan kesulitan kepada waris-waris terutama dalam keadaan pemilik harta meninggal dunia dan mempunyai liabiliti yang belum dilangsaikan sebelum kematiannya.

Perancangan ke atas pembahagian harta pusaka dilakukan adalah untuk mencapai tiga (3) matlamat berikut iaitu:

  1. Pemilik harta akan dapat melakukan amal jariah untuk dirinya;
  2. Pemilik harta akan boleh memberikan hartanya kepada orang yang disayangi; dan
  3. Pemilik harta ingin memastikan waris-waris memperolehi harta pusakanya dan tidak menagih simpati daripada orang lain.

Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir harta orang Islam, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat untuk mengurus harta mereka sama ada semasa hidup atau selepas meninggal dunia.

Selain daripada kewajipan menunaikan zakat melalui Lembaga Zakat Selangor dan penyuburan amalan berwakaf melalui Perbadanan Wakaf Selangor yang mana kedua-duanya merupakan anak syarikat di bawah MAIS, MAIS sendiri melalui Baitulmal telah mewujudkan perkhidmatan-perkhidmatan lain selaras dengan bidang kuasa dan hukum syarak iaitu sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah”.

Manakala berkaitan terimaan harta-harta orang Islam pula ialah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 81 (2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal.”

Pada masa ini, perkhidmatan perancangan dan pengurusan harta yang diwujudkan di bawah Baitulmal MAIS adalah seperti berikut:

  1. Surat Wasiat Bertulis dan Pelantikan Wasi

Umat Islam boleh membuat perancangan harta masing-masing secara wasiat di MAIS untuk dibahagikan sebanyak 1/3 daripada harta pusaka bersih kepada benefisiari yang telah ditentukan selepas kematian pewasiat. Manakala bakinya dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum syarak. MAIS akan bertindak selaku wasi yang akan mentadbir harta-harta pusaka pewasiat meliputi hutang-piutang, harta yang diwasiatkan dan harta yang tidak diwasiatkan. Kaedah menulis wasiat pada masa ini telah dipermudahkan secara atas talian melalui laman web https://wasiat.com.my.

2. Dokumen Perisytiharan Hibah

Dokumen perisytiharan hibah merupakan sebuah dokumen yang mana umat Islam boleh mengisytiharkan hartanya dihibahkan atau diberikan terus kepada waris atau mana-mana penerima semasa hidup. Jika penerima hibah adalah mereka yang di bawah umur, tidak sempurna akal atau orang kurang upaya, penghibah boleh melantik MAIS sebagai pemegang amanah bagi pihak penerima hibah.

3. Peramanahan

Perkhidmatan peramanahan merupakan satu bentuk perkhidmatan yang ditawarkan kepada mana-mana umat Islam untuk melantik MAIS sebagai pemegang amanah bagi harta mereka. Antaranya adalah pemegang amanah bagi pemilik harta yang tidak berwaris, waris bawah umur, orang kurang upaya, tak sempurna akal, hasil jualan rumah yang akan dibahagikan kepada benefisiari dan bermacam-macam lagi. 

4. Pentadbir Harta Pusaka

Selaku badan yang berbidang kuasa mentadbir harta pusaka orang Islam, MAIS menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk melantik MAIS sebagai pentadbir bagi harta pusaka seseorang si mati untuk diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid. Manakala dalam keadaan sekiranya MAIS merupakan salah satu pihak yang berhak ke atas harta pusaka seseorang si mati, MAIS boleh menawarkan kepada mana-mana waris untuk menebus bahagian yang telah jatuh kepada Baitulmal.

Selain daripada itu, umat Islam juga boleh menyerahkan harta kepada Baitulmal MAIS sebagai melaksanakan tanggungjawab membersihkan, menyucikan dan mengasingkan harta-harta mereka seperti berikut:

  • Pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah

Mana-mana umat Islam, institusi atau syarikat yang terlibat atau mempunyai sebahagian daripada hasil pendapatannya melalui sumber yang haram dan syubhah hendaklah melupuskan sumber tersebut di Baitulmal MAIS. Sumber-sumber tersebut adalah tidak diiktiraf oleh syarak umpamanya seperti riba, gharar (hasil yang diragui), perjudian, penipuan, rampasan, rompakan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah, hasil jualan barangan curi, loteri, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan dalam sekuriti tidak patuh syariah, aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah, penjualan barangan berasaskan tembakau dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya). Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri daripada bertransaksi dengan perkara-perkara yang haram atau diragui kehalalannya.

  • Penyerahan Wang Orang Berhutang  

Baitulmal MAIS selaku pemegang amanah harta umat Islam boleh menerima pembayaran hutang daripada mana-mana umat Islam dengan tujuan untuk memulangkan semula harta yang diamanahkan apabila dituntut oleh tuannya. Kedudukan penghutang selepas menyerahkan hutangnya adalah ia terlepas daripada tanggungjawab membayar hutang sama seperti pembayar zakat yang telah menyerahkan zakatnya kepada amil. Penyerahan hutang kepada Baitulmal MAIS adalah tertakluk kepada hutang-hutang yang gagal disampaikan kepada pemiutang seperti pemiutang dan waris gagal dikesan, hutang kepada orang bukan Islam yang tidak dapat dikesan, hutang di kedai yang telah tidak wujud, hutang kepada pembekal barangan yang tidak dapat dikesan dan bermacam-macam lagi.

  • Penyerahan Wang dan Harta Tak Dituntut

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2012 yang bersidang pada 10 April 2012 bersamaan 18 Jamadil Ula 1433 H telah memutuskan bahawa, “harta dan wang milik umat Islam negeri Selangor di mana-mana institusi kewangan, syarikat dan firma yang tak dituntut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor.” Penyerahan wang tak dituntut antara lain umpamanya seperti wang akaun masjid atau surau yang tak dituntut, wang sumbangan yang tak dituntut, hasil rampasan yang tak dituntut, gaji pembantu rumah atau pekerja yang tak dituntut, hasil jualan perniagaan yang tak dituntut, wang pusaka yang tak dituntut oleh waris, barangan kemas pesakit di hospital yang tak dituntut oleh waris dan lain-lain lagi.  

  • Penyerahan Harta Luqatah

Harta luqatah merupakan harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya yang mana harta ini termasuk dalam kategori harta yang tertakluk kepada hukum syarak. Mana-mana umat Islam yang menjumpai harta luqatah hendaklah menyerahkan kepada Baitulmal MAIS. Antara harta-harta luqatah adalah seperti wang tunai, barang kemas, jam tangan, aksesori perhiasan diri dan peralatan komunikasi yang tercicir dan dijumpai di mana-mana kawasan yang tak diketahui pemiliknya. Hebahan untuk mencari pemilik asal akan dilakukan oleh pihak Baitulmal MAIS di tempat harta tersebut ditemui, di masjid atau surau yang berhampiran dengan tempat harta tersebut ditemui dan di laman web MAIS selama setahun.

  • Penyerahan Gharamah

Gharamah adalah merupakan penalti yang dikenakan sebagai langkah pencegahan kepada kelewatan pembayaran oleh penghutang di institusi kewangan. Ia merujuk kepada perbezaan antara caj pembayaran lewat dan ta’widh, iaitu lebihan sekiranya ta’widh adalah kurang daripada jumlah caj pembayaran lewat. Sebagai pemiutang penghakiman, institusi kewangan  hanya berhak menerima hasil daripada ta’widh yang dikenakan sahaja. Jika jumlah caj pembayaran lewat melebihi kadar ta’widh, ia adalah gharamah dan perlu disalurkan kepada baitulmal.

  • Sumbangan Sedekah

Selain daripada serahan-serahan harta yang tertakluk hukum syaraknya kepada Baitulmal, umat Islam juga boleh melakukan sedekah di Baitulmal MAIS. Sumbangan sedekah merupakan alternatif untuk merangsang dan menyuburkan amalan melakukan kebajikan dan amal jariah dalam kalangan umat Islam. Tidak memadai dengan pembayaran zakat sahaja yang sememangnya merupakan kewajipan kepada setiap individu Muslim, sedekah adalah salah satu cara untuk menampung segala kekurangan dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.    

Justeru, mengambil kira kefahaman ilmu pengurusan dan perancangan harta yang masih lagi kurang dalam kalangan umat Islam, pihak MAIS ingin mengajak seluruh masyarakat untuk membuat perancangan dan pengurusan harta dengan betul dan sempurna. 

Dengan membuat perancangan, pengurusan dan pengagihan harta yang betul ia dapat melahirkan umat Islam yang sentiasa menjaga batas syariat dan mewujudkan ikatan silaturrahim yang harmoni dengan waris-waris dan lebih penting lagi ia dapat menghindarkan ahli keluarga khususnya dan masyarakat amnya daripada memakan harta secara batil.

Sebagai sebuah agensi utama agama Islam negeri, peranan MAIS seharusnya digunakan semaksimum mungkin oleh segenap lapisan masyarakat bagi meletakkan MAIS dan Baitulmal selaku badan yang berautoriti mentadbir dan menguruskan harta umat Islam. MAIS juga  tidak ketinggalan menggunakan medium arus perdana ketika ini iaitu melalui saluran facebook Wasiat Hibah Pusaka Faraid MAIS dan instagram wasiatislam. Umat Islam boleh mendapatkan pelbagai info terkini melalui medium tersebut yang dimuat naik hampir setiap hari atau dengan melayari laman web https://mais.gov.my. Sebarang maklumat lanjut, hubungi Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 9 & 10, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor di talian 03-5514 3773 atau 03-5514 3772.

Wallahu a’lam.

INDERA SHAHRIL BIN MOHD SHAHID

Pengarah Baitulmal

Majlis Agama Islam Selangor