Dalam mengira masalah datuk bersama saudara-saudara si mati ia boleh dilaksanakan melalui kaedah Zaid bin Tsabit r.a. Saudara-saudara si mati bermaksud saudara seibu sebapa lelaki, saudara seibu sebapa perempuan, saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan. Manakala saudara seibu terdinding dengan datuk.

Dua kaedah pembahagian yang melibatkan datuk bersama saudara seibu sebapa atau sebapa adalah:

  1. Sekiranya hanya terdapat datuk dan saudara seibu sebapa atau sebapa tanpa ada waris-waris fardu, datuk mendapat mana yang lebih banyak antara 1/3 atau muqasamah.
  2. Sekiranya bersama-sama datuk dan saudara seibu sebapa atau sebapa wujud waris-waris fardu lain, datuk mendapat yang lebih banyak antara 1/6, 1/3 baki atau muqasamah.

Muqasamah bermaksud pembahagian atau perkongsian. Dalam istilah ilmu faraid, muqasamah bermaksud sekiranya datuk mewarisi bersama saudara seibu sebapa atau saudara sebapa lelaki, bahagian mereka dibahagi sama banyak tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Datuk dianggap sebagai salah seorang daripada saudara lelaki. Sekiranya datuk mewarisi bersama saudara seibu sebapa atau saudara sebapa perempuan, datuk mengasobahkan mereka mengikut kaedah asobah bi al-ghairi dan juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Terdapat beberapa keadaan dalam pengiraan kes muqasamah seperti berikut:

  1. Datuk bersama saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan atau gabungan saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan.
    • Datuk dianggap sebagai saudara seibu sebapa lelaki dan mengasobahkan saudara seibu sebapa perempuan.
  1. Datuk bersama saudara sebapa lelaki, saudara sebapa perempuan atau gabungan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.
    • Datuk dianggap saudara sebapa lelaki dan mengasobahkan saudara sebapa perempuan.
  1. Datuk bersama kombinasi saudara seibu sebapa dan saudara sebapa sama ada lelaki atau perempuan.
    • Datuk dianggap sebagai saudara seibu sebapa lelaki.
    • Saudara sebapa lelaki dianggap sebagai saudara seibu sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan dianggap sebagai saudara seibu sebapa perempuan. Setelah datuk mendapat bahagian, saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan bertukar kepada statusnya yang asal.
  1. Datuk hanya bersama saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki atau perempuan.
    • Saudara seibu sebapa perempuan mendapat fardu. Setelah diberikan bahagian datuk dan saudara seibu sebapa perempuan, bakinya diberikan kepada saudara sebapa jika masih berbaki.