Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada waris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak.

Berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7: “Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asobah, maka hendaklah diwarisi oleh dhawi al-arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dhawi al-arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bila mana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil.”

Dalam kitab al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa al-Sunnah, karangan al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni, cetakan ke-5, tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi’e bahawa dhawi al-arham atau para kerabat tidak berhak mendapat pusaka. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashab al-furud atau asobah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dhawi al-arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.

Dalil Sandaran Imam Malik dan Syafi’e ialah:

1.         Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syarak dan qat’ie dari al-Qur’an atau al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dhawi al-arham untuk mendapat pusaka. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dhawi al-arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil.

2.         Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun.” Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.

3.         Harta pusaka, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashab al-furud ataupun para asobah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan khusus (peribadi).

Baitumal mewarisi harta pusaka seseorang si mati melalui keadaan-keadaan seperti berikut:

i.          Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Dalam keadaan ini, semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.

Contoh:

Si mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri, ibu bapa dan tidak pula mempunyai saudara mara, semua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.

ii.  Sekiranya si mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti waris dhawi al-arham atau berlainan agama, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

a. Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

b. Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

c. Si mati seorang muallaf. Ibu bapa dan semua saudara mara bukan beragama Islam. Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.

iii. Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

a. Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4  bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

b. Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada. Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.

c. Si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.