Sebenarnya, banyak harta pusaka yang belum diagihkan sungguhpun pemilik harta telah meninggal dunia bertahun-tahun lamanya. Sebagai contoh, dalam situasi berikut: “Saya merupakan salah seorang anak perempuan dan anak yang bongsu dari 5 orang adik beradik. Ibu dan bapa saya telah meninggal dunia lebih 10 tahun yang lalu di mana bapa saya terlebih dahulu dijemput Ilahi dan selang setahun kemudian ibu pula. Abang sulong saya tinggal di atas rumah pusaka peninggalan arwah ibu yang mana dalam pengetahuan saya rumah tersebut adalah dimiliki oleh arwah ibu. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah diberitahu berkenaan kedudukan semua harta arwah ibu termasuklah harta arwah bapa. Semua maklumat dan dokumen dipegang oleh abang sulong saya. Masalah saya dan adik-beradik lain kini ialah sehingga 10 tahun kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia, kami masih tidak mengetahui kedudukan harta pusaka arwah ibu bapa kami. Apabila diajukan soalan kepada abang sulong, beliau hanya menjawab “nanti aku uruskan, kamu jangan bising”. Soalan saya, apakah kesannya sekiranya harta pusaka arwah ibu dan bapa saya tidak diuruskan sehingga sekarang?”
Kelewatan mengurus pembahagian harta pusaka akan memberikan pelbagai implikasi negatif seperti berikut:
a) Pemilikan Tanpa Hak
Kebanyakan waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu faraid. Ada yang sepakat melantik abang sulong sebagai pentadbir. Tetapi ada juga abang sulong yang menggunakan kuasa ‘veto’ melantik dirinya sebagai pentadbir atau kepala kuasa. Tanpa ilmu yang mencukupi, pentadbir membahagikan secara sesuka hati. Lebih memburukkan keadaan, pentadbir pula mengisytiharkan dirinya berhak ke atas semua harta pusaka si mati selagi belum dibuat pembahagian. Pemilikan atau pembahagian harta sebegini boleh menyebabkan seseorang memakan harta secara salah. Ini kerana selagi tanah itu belum dibuat pembahagian mengikut undang-undang, kebanyakan waris tidak mengetahui siapa antara mereka yang berhak mewarisi dan berapa bahagian yang mereka warisi.
b) Tanah Terbiar atau Harta Tidak Terurus
Sekiranya ibu bapa ada meninggalkan tanah tapak rumah atau harta tak alih yang lain dan tidak diusahakan akan memungkinkan tanah tersebut menjadi terbiar. Lebih-lebih lagi, waris-waris pula tidak maklum berkenaan harta pusaka si mati. Disebabkan tidak tahu siapa yang bertanggungjawab, cukai tanah tidak berbayar, kawasan tanah menjadi semak samun dan lain-lain lagi. Ini tentunya merugikan waris-waris kerana tidak dapat memanfaatkan harta peninggalan orang tua mereka.
c) Status Pemilikan Tidak Jelas
Dari segi undang-undang, selagi harta pusaka terutamanya tanah itu belum dibuat pembahagian, maka status pemilikan oleh waris-waris masih tidak rasmi dan tanah masih terdaftar atas nama si mati. Ini akan mendorong kepada pemilikan sesuatu harta pusaka tanpa hak jika diduduki oleh mana-mana waris dan kemungkinan boleh dipertikaikan pada bila-bila masa. Lebih malang lagi, terdapat juga orang yang bukan waris menduduki harta pusaka si mati secara ‘perjanjian’ antara si mati dengan arwah bapa mereka sejak lebih 30 tahun lamanya.
d) Hilang Dokumen Penting atau Lupa Fakta Sebenar
Kelewatan menyelesaikan pembahagian harta pusaka boleh menyebabkan kehilangan dokumen penting bagi menguruskan pembahagian harta pusaka itu. Contohnya, hilang sijil kematian, dokumen perjanjian jual beli, geran tanah, dokumen wasiat, sijil nikah dan sebagainya. Kehilangan dokumen penting akan menyebabkan kesukaran kepada waris-waris bagi membuktikan sebarang tuntutan. Lebih buruk lagi, ia boleh mengakibatkan seseorang itu akan kehilangan hak kerana tuntutan itu tidak memihak kepadanya. Lebih mendukacitakan lagi, sekiranya waris gagal mengingati fakta salasilah keluarga, waris atau turutan tarikh kematian waris-waris mereka yang meninggal dunia. Semua fakta akan memberikan kesan langsung kepada pembahagian harta pusaka dalam menentukan siapa waris yang berhak dan kadar bahagian masing-masing.
e) Mendorong kepada Keterangan Palsu
Bagi mencari jalan singkat, terdapat waris yang akan memberikan pengakuan palsu apabila membuat permohonan pembahagian dan perbicaraan harta pusaka sama ada di hadapan Hakim Mahkamah Syariah atau Pegawai Pembahagian Pusaka. Jumlah waris yang sepatutnya 5 orang kemudian hanya diakui 4 orang sahaja dengan meninggalkan seorang waris. Ini dikenali sebagai kes tinggal waris atau sembunyi waris. Dosanya cukup besar di sisi hukum syarak iaitu memakan harta secara batil sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu dan seumpamanya).” (Surah Al-Nisa’: 29)
f) Putus Hubungan Persaudaraan atau Kekeluargaan
Oleh kerana lewatnya sesuatu pusaka itu diuruskan, akan menimbulkan perbalahan di kalangan keluarga atau ahli waris. Lebih buruk lagi, ia menyemai sikap permusuhan yang asalnya masing-masing ada pertalian darah rosak sekelip mata disebabkan oleh sikap tamak sesetengah ahli waris. Tiada aktiviti ziarah-menziarahi, apatah lagi menghadiri majlis kenduri perkahwinan dan sebagainya. Akibatnya, rosak struktur keturunan si mati yang telah lama terbina.
Wallahu a’lam.