Kenapa Waris Perlu Mendapatkan Perintah Faraid?

Kenapa Waris Perlu Mendapatkan Perintah Faraid?

Saya seorang perempuan yang sedang melanjutkan pelajaran di IPT. Bapa saya meninggal dunia kira-kira sebulan yang lalu kerana sakit kanser yang dialami. Arwah bapa meninggalkan saya, ibu tiri dan anak-anaknya yang masih kecil (perempuan, 7 tahun dan lelaki, 3 bulan). Ibu kandung saya telah meninggal dunia semasa saya berumur 12 tahun. Arwah bapa saya telah berkahwin dengan ibu tiri sejak 8 tahun yang lepas. Tetapi bapa saudara saya (abang arwah bapa) sejak dua minggu yang lalu mendesak saya menyerahkan akaun simpanan dan geran-geran tanah kerana dia menyatakan dia berhak ke atas harta arwah bapa saya. Ibu tiri mencadangkan saya supaya merujuk kepada pihak yang boleh membantu. Bagaimana saya perlu lakukan sekarang? Adakah bapa saudara saya berhak ke atas harta pusaka arwah bapa saya?    

Berdasarkan kedudukan di atas, sekiranya kedua-dua adik tiri itu adalah anak-anak kandung daripada arwah bapa dengan ibu tiri, maka mereka juga adalah waris kepada si mati (arwah bapa). Ini bermakna, bapa saudara (abang arwah bapa) adalah bukan waris sungguhpun darah daging kepada si mati. Bapa saudara terhijab oleh kerana si mati semasa meninggal dunia meninggalkan 2 orang anak perempuan, seorang anak lelaki dan isteri (ibu tiri). Anak perempuan dan anak lelaki adalah waris asabah kepada si mati dan bapa saudara tidak berhak ke atas harta pusaka si mati.

Inilah sebenarnya yang sering terjadi dalam masyarakat kerana:

1. Menganggap dirinya berhak sedangkan tidak berhak kerana tidak mengetahui ilmu faraid.

2. Menafikan anak lelaki yang masih kecil dan mengganggap mereka tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka si mati.

3. Menganggap dirinya lebih berhak kerana jasa dan bakti yang telah dicurahkan semasa si mati masih hidup berbanding dengan anak lelaki si mati yang baru berusia 3 bulan.

4. Menganggap waris-waris boleh dipermainkan dan diperbodohkan semata-mata kerana sikap tamak dan haloba.

Bagaimana untuk mengetahui kaedah pembahagian harta pusaka berdasarkan undang-undang?

Di Malaysia, apabila si mati meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat, hibah atau meletakkan penama bagi harta tak alih dan harta alih seperti wang simpanan di Tabung Haji atau KWSP, maka secara automatik kesemua harta-harta tersebut akan dibekukan.

Mana-mana waris atau saudara terdekat si mati tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pengeluaran, pindah milik dan jual beli harta tak alih si mati tanpa terlebih dahulu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau Mahkamah Tinggi Sivil mengikut nilaian harta si mati.

Bagi si mati yang beragama Islam, sebelum proses permohonan bagi mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dibuat, permohonan bagi mendapatkan Perintah Faraid hendaklah dilakukan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah bagi menentukan waris-waris yang berhak menerima harta si mati serta bahagian-bahagian mereka.

Tindakan segera perlu diambil untuk menguruskan harta pusaka si mati tanpa bertangguh. Sikap suka bertangguh akan mengakibatkan pembahagian pusaka tergendala sekaligus memberi implikasi yang besar kepada ahli waris yang berhak khususnya kepada anak-anak kecil (sekiranya ada) yang memerlukan harta pusaka tersebut untuk kelangsungan hidup mereka.

Perintah Faraid adalah satu akuan rasmi yang mengandungi maklumat tentang waris-waris dan bahagian-bahagian yang berhak mereka perolehi ke atas harta pusaka selepas dibuat pengiraan faraid yang telah disahkan dan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Waris-waris si mati hendaklah terlebih dahulu menunaikan kewajipan-kewajipan si mati mengikut syarak iaitu perbelanjaan penyelenggaran jenazah, penunaian hutang, pembahagian harta sepencarian, penyempurnaan wasiat dan kemudian pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak.

Perintah Faraid mampu untuk meminimumkan perkara-perkara negatif yang berkaitan dengan pengurusan harta pusaka daripada berlaku antaranya penipuan atau penyembunyian waris yang berhak, penganiayaan hak waris, manipulasi sesama ahli waris kerana di dalamnya tercatat butiran waris dan bahagian yang akan diterimanya yang mempunyai kesan dari sudut undang-undang.

Justeru, pihak-pihak yang terlibat dengan permohonan Perintah Faraid hendaklah mengikuti prosedur yang telah ditetapkan dengan teliti dan jujur serta memenuhi keperluan setiap prosedur tersebut untuk mengelak daripada berlaku penganiayaan terhadap waris-waris yang berhak akibat kecuaian, kejahilan dan ketidaktelusan semasa menguruskannya.

Berdasarkan Seksyen 65, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan:

“Jika dalam perjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau pembahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam, mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa, selain Mahkamah Tinggi Syariah atau suatu Mahkamah Rendah Syariah, mempunyai kewajipan untuk menentukan-

a) orang-orang yang berhak mendapat bahagian dalam harta pusaka itu; atau

b) bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak,

Mahkamah Syariah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang menuntut bahawa dia menjadi benefisiari atau wakilnya, dan setelah dibayar olehnya fi yang ditetapkan, memperakukan fakta-fakta yang didapati oleh Mahkamah Syariah itu dan pendapat Mahkamah Syariah itu tentang orang-orang yang berhak atau bahagian-bahagian itu.”

Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan Perintah Faraid di Mahkamah Syariah?

Dokumen-dokumen yang diperlukan ialah:

Notis Permohonan (Borang MS 3) Dan Afidavit
Salinan Kad Pengenalan/Passport Pemohon
Salinan Sijil Kematian / Permit Penguburan /Perintah Anggapan Mati Si Mati
Salinan Sijil Kelahiran / Kad Pengenalan Waris-Waris
Salinan Surat Perakuan Nikah / Ruju’ / Cerai
Salinan Dokumen Berkaitan Harta / Jumlah harta

Leave a Reply