Arwah ayah telah meninggalkan kami kira-kira 8 tahun yang lepas. Namun, sehingga kini dalam kalangan waris tiada yang ingin mengambil inisiatif untuk membuat permohonan pembahagian harta pusaka arwah ayah. Masing-masing memberikan pelbagai alasan dan alasan yang paling tinggi diberikan oleh waris adalah kerumitan berkaitan prosedur permohonan tersebut. Adakah permohonan pembahagian harta pusaka si mati adalah rumit?
Sebenarnya kerumitan yang seringkali dijadikan alasan oleh seseorang waris dalam membuat permohonan pembahagian harta pusaka biasanya apabila mereka kurang pengetahuan dan tidak mahu menggunakan pelbagai kemudahan yang telah ditawarkan. Prosedur pembahagan harta Pusaka hendaklah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti berikut:
(i) Harta Pusaka Besar
Permohonan untuk mendapat surat kuasa mentadbir di bawah kategori harta pusaka besar hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil. Permohonan boleh dibuat oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu (termasuk Amanah Raya Berhad dan Baitulmal). Pentadbirannya adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir pusaka. Setelah Surat kuasa mentadbir pusaka diperolehi, pentadbir hendaklah mendaftarkan dirinya di pejabat tanah supaya semua surat-surat hak milik tersebut didaftarkan atas pemohon sebagai pemegang amanah harta si mati. Setelah itu pentadbir perlu menyenaraikan semua aset si mati (selepas membuat carian) dan mendapatkan Perintah Faraid dari Mahkamah Syariah. Pentadbir bertanggung jawab untuk menyelesaikan liabiliti-liabiliti si mati termasuklah kos belanja pengebumian dan hutang-piutang si mati. Kemudian, pentadbir hendaklah memohon satu perintah pembahagian harta pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian tersebut boleh dibuat mengikut hukum faraid atau secara muafakat (takharuj dalam kalangan waris).
(ii) Harta Pusaka Kecil
Harta pusaka kecil adalah harta pusaka yang tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 iaitu si mati yang meninggalkan harta tak alih sahaja atau harta tak alih beserta dengan harta alih dan nilai kesemuanya tidak melebihi RM 2,000,000. Permohonan pembahagian bagi harta pusaka kecil boleh dibuat oleh (a) Waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya; (b) Pemiutang dan pengkaveat; (c) Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah; (d) Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah si mati; (e) Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah; ( f) Amanah Raya Berhad. Permohonan dibuat dengan mengisi borang A dan mengemukakan beberapa dokumen termasuk sijil kematian, permit pengkuburan dan dokumen berkaitan harta si mati serta sijil carian harta. Borang A hendaklah diserahkan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil, JKPTG terdekat. Notis Perbicaraan akan dikeluarkan selepas itu melalui borang D dan semua waris dikehendaki hadir. Waris yang tidak dapat hadir boleh kemukakan surat persetujuan (Borang DDA). Perbicaraan diadakan bagi menentukan harta si mati, menentukan waris si mati, menentukan bahagian waris dan menentukan cara pembahagian. Penyelesaian pusaka akan dibuat oleh Pegawai Pusaka Kecil mengikut hukum syarak atau secara muafakat jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju (takharuj). Pembahagian dilakukan setelah pentadbir yang dilantik melalui borang F menyelesaikan kos belanja pengebumian dan hutang-piutang si mati. Satu perintah pembahagian akan dikeluarkan kemudiannya melalui borang E dan pihak waris hendaklah mengemukakan hakmilik tanah (Geran) ke Pejabat Tanah berkaitan untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian tersebut.
(iii) Harta Pusaka Ringkas
Harta pusaka ringkas adalah terdiri daripada harta alih sahaja seperti wang tunai tidak melebihi RM 600,000.00, saham-saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), kereta, wang simpanan di dalam bank dan sebagainya. Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas ini hendaklah dibuat kepada Ketua Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad. Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju (takharuj). Pembahagian dilakukan setelah pentadbir yang dilantik menyelesaikan kos belanja pengebumian dan hutang-piutang si mati.
Perintah Pembahagian
Perintah pembahagian ialah perintah yang dibuat oleh pihak pemutus dan perintah ini mempunyai kuatkuasa perundangan. Perintah ini perlu dibawa ke pejabat tanah (jika melibatkan harta tak alih) untuk didaftarkan. Perintah Pembahagian harta pusaka orang Islam dibuat dengan mematuhi hukum Islam (faraid) atau secara muafakat (persetujuan di kalangan ahli waris).