Definisi Amanah

Amanah diertikan sebagai sesuatu yang diserahkan untuk dipelihara dan dijaga yang merangkumi harta benda, kehormatan diri, hak-hak manusia dan agama. Dalam konteks pengamanahan, ia adalah perihal atau perbuatan mengamanahkan.

Dalil Pensyariatan Amanah

Al-Quran

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah Al-Anfal: 27)

Al-Hadis

Hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أدِّ الأمانةَ إلى مَنِ ائتمنَكَ، ولا تخُنْ مَن خانَكَ

Yang bermaksud: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang engkau percaya (untuk menunaikan amanah kepadanya), dan jangan khianati orang yang telah mengkhianatimu.” (Riwayat Abu Daud)

Bidang Kuasa Mais Sebagai Pemegang Amanah

MAIS berbidang kuasa sebagai pemegang amanah selaras di bawah peruntukan Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

MAIS melalui Baitulmal mempunyai bidangkuasa di bawah Seksyen 81 (2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pula menyatakan, “Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal.”

Manakala di bawah Seksyen 89, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Walau apa pun apa-apa peruntukan yang berlawanan dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal-

a)         semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas;

b)         semua nazr am; dan

c)         segala jenis amanah yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong atau memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak,

Bagi apa-apa harta yang tersentuh oleh wakaf, nazr ‘am atau amanah itu dan terletak di dalam negeri Selangor.”

Sebagai badan pemegang amanah, MAIS juga boleh menikmati apa-apa manfaat yang yang patut diperolehi daripada sesuatu kontrak berdasarkan kepada Seksyen 5(3), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Majlis boleh membuat kontrak dan boleh memperoleh, membeli, mengambil, memegang dan menikmati segala jenis harta alih dan tak alih dan, tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis yang menyentuh harta itu, boleh memindahakkan, menyerahhakkan, menyerahkan, dan memulangkan, menggadaikan, menggadaijanjikan, mendemis, menyerahhakkan semula, memindahkan hakmilik atau selainnya melupuskan atau membuat apa-apa urusan tentang mana-mana harta alih atau tak alih yang terletak hak pada majlis atas apa-apa terma yang difikirkan patut oleh Majlis menurut hukum syarak.”

PERKHIDMATAN PENGAMANAHAN DI MAIS

Perkhidmatan berkaitan pengamanahan yang ditawarkan di MAIS adalah meliputi berikut:

  1. Amanah Sedekah;
  2. Amanah Saraan Hidup; dan
  3. Amanah Pendidikan. 

Amanah Sedekah

Amanah Sedekah adalah perkhidmatan yang diwujudkan kepada mana-mana umat Islam untuk melantik MAIS selaku pemegang amanah untuk disampaikan kepada penerima manfaat sedekah.

Amanah Saraan Hidup

Amanah Saraan Hidup merupakan perkhidmatan yang sesuai untuk kanak-kanak, OKU atau orang yang lanjut usia. Mereka ini mempunyai harta namun waris, kaum kerabat atau penjaga boleh melantik pihak MAIS sebagai pemegang amanah bagi harta mereka dan menyara menggunakan harta mereka selagi mana kanak-kanak itu belum mencapai dewasa atau OKU tersebut mampu mengurus harta atau orang yang lanjut usia itu masih hidup.

Amanah Pendidikan

Perkhidmatan Amanah Pendidikan ini sesuai bagi kanak-kanak yang ketiadaan waris namun memiliki harta yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya atau diperolehi dari mana-mana pihak. MAIS boleh dilantik sebagai pemegang amanah bagi tujuan pendidikan kanak-kanak tersebut sehinggalah dia melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi.

Amaun Minimum Bagi Pembukaan Akaun Amanah

Jumlah wang minimum bagi pembukaan akaun amanah adalah RM 10,000.

Fi Permohonan Pengamanahan

Fi permohonan peramanahan adalah RM 300 untuk setiap akaun amanah yang dibuka.

Fi Pelaksanaan Pengamanahan

Fi pelaksanaan adalah 1% daripada agihan manfaat bulanan atau tahunan.

Carta Alir Perkhidmatan Pengamanahan Mais

  1. Amanah Sedekah
  1. Amanah Saraan Hidup
  1. Amanah Pendidikan

Kenapa Perlu Melantik Mais Selaku Pemegang Amanah?

  • MAIS adalah institusi yang boleh dilantik sebagai pemegang amanah berdasarkan undang-undang syariah di Malaysia;
  • Dokumentasi Pengamanahan adalah langkah terbaik sekiranya berlaku musibah dan bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari; dan
  • MAIS berkepakaran dalam melaksanakan arahan amanah serta mempunyai akses kepada institusi agama Islam dalam negeri Selangor.