Definisi Wasiat

Iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati. (Seksyen 2, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999)

Dalil Pensyariatan Wasiat

Al-Quran

Firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Al-Hadis

Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، له شيءٌ يُرِيدُ أَنْ يُوصِيَ فِيهِ، يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ

Yang bermaksud: “Tidak sepatutnya seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu ingin diwasiatkan tidur dua malam melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” (Riwayat Muslim)

Rukun Wasiat

  • Pewasiat;
  • Penerima wasiat (benefisiari);
  • Harta yang diwasiat; dan
  • Sighah (lafaz wasiat).

Syarat Pewasiat

  • Telah mencapai umur lapan belas tahun;
  • Sempurna akal;
  • Bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa; dan
  • Tidak dihalang daripada mengurus hartanya.

Syarat Penerima Wasiat (Benefisiari)

  • Diketahui dengan jelas;
  • Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak; dan
  • Mempunyai kelayakan untuk memiliki dan mengurus harta yang diwasiatkan menurut mana-mana undang-undang bertulis.

Syarat Harta Yang Diwasiat

  • Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa hidup pewasiat;
  • Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindahmilikkan selepas kematian pewasiat;
  • Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat, jika ditentukan atau wujud semasa kematian pewasiat, jika tidak ditentukan; dan
  • Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat.

Hukum Wasiat

Peringkat awal Islam, hukum wasiat kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib sebagaimana firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 180)

Walau bagaimanapun, kewajipan ini telah dimansuhkan dengan Surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176 dan hadis-hadis yang berkaitan dengan harta pusaka. Namun, amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksima satu pertiga dan ditujukan kepada selain waris.

Ia sebagaimana hadis daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللهَ قد أعطى كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ؛ فلا وصيَّةَ لوارثٍ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan hak masing-masing. Maka, tiada wasiat untuk waris.” (Riwayat Abu Daud)

Kadar Wasiat

Pewasiat digalakkan mewasiatkan harta tidak melebihi satu pertiga. Ia berdasarkan hadis daripada Saad bin Abi Waqqas r.a. ketika Rasulullah SAW melawat beliau yang sedang sakit: 

يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Yang bermaksud: “Ya Rasulullah, bolehkah aku ingin berwasiat semua hartaku? Jawab baginda: “tidak”, Aku berkata: “setengah?” Jawab baginda: “tidak”, aku berkata lagi: “Satu pertiga” Jawab baginda: “Satu pertiga dan satu pertiga itu banyak”, “sesungguhnya engkau meninggalkan waris itu kaya lebih baik daripada dia meminta-minta daripada manusia dengan tangan mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Satu pertiga dikira daripada harta bersih setelah dijelaskan kos urusan pengebumian dan hutang pewasiat. Sekiranya pewasiat menanggung hutang yang banyak hingga kehabisan segala hartanya, maka wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.

Wasiat Kepada Waris

Jumhur fuqaha berpendapat wasiat kepada waris adalah tidak diharuskan dan wasiat hanya sah dibuat kepada bukan waris yang menerima bahagian harta di bawah peraturan faraid. Berdasarkan kepada pandangan ini, asal hukum wasiat kepada waris adalah tidak sah melainkan jika waris lain bersetuju dengan wasiat yang dibuat ketika pewasiat meninggal dunia. Dengan demikian, pelaksanaan wasiat kepada waris adalah bergantung kepada persetujuan dan keizinan daripada waris yang lainnya .

Sandarannya adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا وصيةَ لوارثٍ إلا أن يشاءَ الورثةُ

Yang bermaksud: “Tidak boleh berwasiat kepada waris melainkan jika diizinkan oleh warisnya yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, sesuatu wasiat yang dibuat kepada waris adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain selepas kematian pewasiat.

Perkhidmatan Wasiat di MAIS

MAIS berbidang kuasa dan berkepakaran dalam penulisan, penyimpanan dan pelaksanaan wasiat selaras di bawah Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 dan Kaedah-Kaedah Pengurusan Wasiat (Orang Islam) Negeri Selangor 2008.

Penulisan Wasiat

Penulisan wasiat adalah merupakan alternatif bagi pewasiat untuk menyampaikan hasratnya tentang bagaimana asetnya perlu diagihkan selepas mereka meninggal dunia.

Penyimpanan Wasiat

Wasiat akan disimpan di tempat yang selamat bagi memastikan kerahsiaan dan juga untuk menghalang apa-apa perubahan yang tidak dibenarkan atau pemalsuan. Dalam tempoh penyimpanan tersebut, pewasiat boleh meminda isi kandungan wasiat mengikut hasrat yang diingini selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Fi Penulisan dan Penyimpanan Wasiat

Fi penulisan dan penyimpanan wasiat adalah RM 300 bagi seorang pewasiat meliputi harta-harta yang diwasiatkan dan yang tidak diwasiatkan.

Fi Pindaan Wasiat

Fi pindaan wasiat adalah RM 50 bagi seorang pewasiat atas wasiatnya yang ingin dipinda atau dikemaskini.

Pelaksanaan Wasiat

Apabila seseorang pewasiat membuat wasiatnya melalui MAIS, pihak MAIS akan bertindak selaku Wasi selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

MAIS akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian wasiat dan harta pusaka  dengan telus, adil dan profesional kepada benefisiari dan ahli waris. 

Fi Pelaksanaan Wasiat*

2%Nilai harta RM 25,000 pertama;
1.5%Nilai harta RM 50,000 berikutnya;
1%Nilai harta RM 75,000 berikutnya:
0.5%Nilai harta RM 100,000 berikutnya; dan
0.25%Nilai harta RM 250,000 ke atas.

*Fi tidak termasuk disbursement, yuran guaman bagi permohonan Geran Probet dan Perintah Pembahagian dan bayaran wajib kepada agensi (sekiranya berkaitan).

Tanggungjawab MAIS Sebagai Wasi

  • Menjadi pemudah cara mengharmonikan benefisiari dan ahli waris;
  • Mengenalpasti harta dan hutang si mati;
  • Mendapatkan pengesahan wasiat di Mahkamah Tinggi Syariah (sekiranya berkaitan);
  • Mendapatkan Geran Probet dan Perintah Pembahagian di Mahkamah Tinggi Sivil;
  • Melunaskan hutang pewasiat dengan Allah dan dengan manusia; dan
  • Membahagikan harta kepada benefisiari yang telah ditentukan oleh pewasiat dalam Surat Wasiat Bertulis dan kepada ahli waris yang berhak mengikut Hukum Faraid.

Permohonan dan Pelaksanaan Wasiat

A.        Permohonan Wasiat Secara Manual

Melalui Borang Permohonan. Muat turun BORANG A

B.        Permohonan Wasiat Secara Atas Talian

Melalui sistem eWasiat MAIS di laman web www.wasiat.com.my

C.        Pelaksanaan Wasiat

Kepada Siapa Wasiat Patut Diberikan

  • Keluarga yang miskin
  • Anak yatim
  • Anak angkat
  • Anak susuan
  • Masjid atau surau
  • Badan kebajikan

Hikmah Disyariatkan Wasiat

  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan kebajikan melalui harta yang ditinggalkan.
  • Dapat menambah pahala dan menampung kekurangan dalam ibadah yang dilakukan semasa hayat. 
  • Melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
  • Membantu menampung keperluan orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik.
  • Mengeratkan silaturrahim dengan kaum kerabat yang tidak menerima harta pusaka.