Definisi

Prof. Dr. Mohammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT.

Pandangan Imam al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Dalil Pensyariatan Berkaitan Harta Tidak Patuh Syariah

Al-Quran

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Yang bermaksud: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 275)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (Surah Al-Nisa’: 29)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90)

Al-Hadis

Hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ وبينهما أمورٌ مُشتبِهاتٌ لا يعلمهنَّ كثيرٌ من الناس فمنِ اتَّقى الشُّبُهاتِ استبرأ لدِينِه وعِرضِه، ومن وقع في الشُّبهاتِ وقع في الحرامِ ، كالراعي يرعى حول الحِمى يوشكُ أن يرتعَ فيه، ألا وإنَّ لكلِّ ملكٍ حمًى، ألا وإنَّ حمى اللهِ محارمُه 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh di dalam (melakukan) perkara syubhah, sama seperti ia terjatuh di dalam (melakukan) perkara yang haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.” (Riwayat al-Bukhari) 

Kaedah Melupus Wang Tidak Patuh Syariah

Imam al-Nawawi

Imam al-Nawawi telah menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya dan seumpamanya.

Syeikh Atiyyah Saqar

Manakala Syeikh Atiyyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar telah menyatakan kaedah melupuskan harta haram ketika bertaubat adalah mengikut kaedah berikut:

  1. Memulangkan kembali harta itu kepada si pemilik asal atau waris pemilik apabila diketahui pemilik harta tersebut; dan
  2. Apabila tidak diketahui pemilik asal harta tersebut, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan dirinya daripada harta haram yang diperolehinya. Penyerahan harta tersebut kepada fakir miskin bukanlah untuk mendapatkan pahala daripada serahan tersebut.

Hal di atas bersandarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis daripada Samurah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kewajipan di atas tangan (mencuri) apa-apa yang diambilnya sehinggalah ia memulangkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi

Berkenaan dengan kedudukan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah telah memutuskan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.

Menurut beliau, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Beliau menegaskan, tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.

Kaedah Fiqh

Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimanakah ianya dapat dijernihkan?

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.”

Menurut kaedah di atas, apabila perkara yang halal dan yang haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram.

Dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya.

Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.

Penggunaan Dan Pengagihan Wang Tidak Patuh Syariah

Keharusan penggunaan harta yang haram digunakan untuk tujuan maslahah umum juga dapat dilihat berdasarkan peristiwa sewaktu Rasulullah SAW menyuruh menyedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Kambing tersebut diambil dari sumber yang haram (diambil tanpa diketahui siapa pemiliknya), lalu Rasulullah SAW menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.

Sesuatu harta yang diperolehi dari sumber yang haram juga tidak wajar dimusnahkan terutamanya sekiranya harta-harta tersebut mempunyai manfaat. 

Walau bagaimanapun, dalam apa jua keadaan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dan ini adalah pahala disisi Allah SWT.

Manakala sumbangannya adalah mekanisme kebajikan yang menyampaikan harta yang mengambil faedah dari sedekah itu dan inilah pahala atas usahanya dengan izin Allah SWT.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 1971

Di negara kita, ketetapan berkenaan penyaluran wang-wang haram telah diputuskan sejak dahulu lagi iaitu melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:

  1. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini.
  2. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”. 

Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, sesebuah pelaburan atau syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat atau pelaburan itu menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

  1. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
  2. Perjudian dan pertaruhan;
  3. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal;
  4. Insurans konvensional;
  5. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
  6. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
  7. Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
  8. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

Baitulmal telah disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dalam ketetapannya berkenaan Senarai Sekuriti Patuh Syariah pada 20hb. November 2008 yang mana antara lain menyebut:

  1. “Sekuriti patuh syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh syariah”          

“… Walau bagaimanapun, sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman, hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.”

  1. Sekuriti patuh syariah

“… Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.” 

Pengklasifikasian sesuatu pelaburan yang mematuhi syariah (shariah-compliant securities) boleh dilihat dengan jelas melalui Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikeluarkan Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Lebih dari itu, dinyatakan juga dalam senarai tersebut bagaimana aras sesuatu sekuriti itu diukur dari segi kehalalan dan kepatuhan prinsip syariahnya. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga dinyatakan syarikat-syarikat yang terkeluar atau tidak mematuhi syariah dengan jelas.

Selain dari itu, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti juga telah mengeluarkan Senarai Sekuriti Patuh Syariah (List of Shariah-Compliant Securities) dan List of launched funds in relation to unit trust funds yang dikemaskini dari semasa ke semasa yang mana jelas menyatakan dana-dana amanah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah.

Titah DYMM Sultan Selangor

Di negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor telah bertitah semasa Perasmian Dewan Undangan Negeri Selangor pada 10 Mac 2009 iaitu:

“Beta juga dengan sukacitanya mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan negeri menyokong usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan penyaluran wang syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal, MAIS. Wang syubhah ialah wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh syariah. Pengumpulan wang syubhah oleh MAIS ini akan digunakan untuk kepentingan umum masyarakat seperti pembinaan kemudahan awam yang manfaatnya kepada orang Islam dan juga bukan Islam. Keputusan untuk menyalurkan wang syubhah ini ke akaun Baitulmal telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa  Baitulmal Kebangsaan Pada 19 Februari 2009 dan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti juga telah menyenaraikan Baitulmal sebagai badan penerima wang syubhah di dalam “Senarai Sekuriti Patuh Syariah Oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti” bertarikh 28 November 2008.”

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Sejajar dengan itu, satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

  1. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
  2. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.                                                                    

Peranan Majlis Agama Islam Selangor

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.

Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”

Serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau didepositkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/syubhah.php

Semoga dengan penyucian harta ini diterima dan diberkati Allah SWT.