Dalam menguruskan harta pusaka seseorang si mati, beberapa langkah boleh diikuti seperti berikut:
- Lantik Pentadbir – Waris-waris boleh bersepakat untuk melantik seorang pentadbir atau suatu pihak untuk mentadbir harta pusaka si mati. Pentadbir yang diamanahkan akan melaksanakan urusan pusaka si mati hingga selesai.
- Kenal Pasti Waris-Waris – Siapa waris-waris yang berhak dan yang tidak berhak ke atas harta pusaka si mati.
- Kenal Pasti Harta-Harta – Apa harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati dan menentukan harta-harta tersebut harta pusaka atau tidak.
- Kenal Pasti Kos Urusan Jenazah – Siapa yang membayar kos urusan jenazah si mati sehingga dikebumikan adakah melalui khairat kematian atau pendahuluan oleh waris. Ia perlu digantikan daripada harta pusaka si mati jika berbentuk hutang.
- Kenal Pasti Hutang-Piutang – Apakah hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati, sama ada hutang dengan Allah (zakat, fidyah, kaffarah, haji) atau hutang dengan manusia (pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi dll.)
- Kenal Pasti Tuntutan Harta Sepencarian – Sama ada balu / suami si mati ingin membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah atau tidak.
- Kenal Pasti Wasiat – Sama ada si mati ada meninggalkan wasiat atau tidak. Jika ada, waris hendaklah memohon perintah pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah.
- Beri Kebenaran kepada Waris – Waris-waris boleh bersepakat untuk memberikan kebenaran kepada waris-waris lain yang menduduki harta pusaka atau memakan hasil sementara proses pentadbiran harta pusaka dilaksanakan.
- Mohon Perintah Faraid – Pentadbir yang dilantik boleh membuat permohonan perintah faraid di Mahkamah Syariah untuk penentuan waris-waris yang berhak ke atas harta pusaka si mati.
- Mohon Pembahagian Pusaka –
- Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) – Mentadbir harta pusaka tak alih atau campuran di antara harta tak alih dan harta alih yang nilainya RM 2 juta dan ke bawah.
- Amanah Raya Berhad (ARB) – Mentadbir harta pusaka alih sahaja yang nilainya RM 600,000 dan ke bawah.
- Mahkamah Tinggi Sivil – Mentadbir harta pusaka alih dan tak alih yang nilainya lebih RM2 juta atau mentadbir harta pusaka alih sahaja yang nilainya lebih RM600,000.