DEFINISI KAFFARAH
Kaffarah dinamakan sedemikian kerana ia menutup dosa dan diberikan keringanan oleh Allah SWT. Kaffarah dari segi istilah syarak adalah menunaikan kewajipan berbentuk harta atau tubuh badan disebabkan meninggalkan sesuatu tanggungjawab atau kewajipan hukum syarak. Ia boleh dirumuskan sebagai satu tindakan yang boleh menghapuskan dosa sama ada dengan membebaskan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.
DALIL PENSYARIATAN KAFFARAH
Al-Quran
Firman Allah SWT:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Yang bermaksud: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Ma’idah: 89)
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ. فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ۖ فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ۚ ذَٰلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۗ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang ‘ziharkan’ isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Mujadalah: 3-4)
Al-Hadis
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
.مَن حَلَفَ علَى يَمِينٍ، فَرَأَى غَيْرَها خَيْرًا مِنْها، فَلْيُكَفِّرْ عن يَمِينِهِ، ولْيَفْعَلْ
yang bermaksud: “Sesiapa yang bersumpah (untuk melakukan sesuatu), kemudian dia berpendapat bahawa keadaan (perkara) sebaliknya lebih baik daripada melakukan sumpah itu, maka hendaklah dia membayar kaffarah sumpahnya dan bolehlah dilakukan (apa yang dianggapnya lebih baik itu).” (Riwayat Muslim)
HIKMAH PENSYARIATAN KAFFARAH
a) Menjadi penyebab bagi pesalah untuk bertaubat;
b) Meringankan bebanan rasa bersalah kerana melakukan maksiat; dan
c) Mengingatkan agar manusia tidak boleh mengambil mudah dengan peraturan dan hukum-hukum-Nya.
SEBAB-SEBAB DIKENAKAN KAFFARAH
Terdapat beberapa sebab dan kesalahan yang dikenakan kaffarah iaitu:
1. Persetubuhan pada siang hari bulan Ramadan.
Orang yang melakukan persetubuhan pada siang hari bulan Ramadan dikenakan kaffarah iaitu berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau jika tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.
2. Melanggar sumpah.
Orang yang melanggar sumpah adalah berdosa dan wajib membayar kaffarah. Kaffarah melanggar sumpah adalah dengan memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.
3. Melanggar nazar.
Orang yang tidak menunaikan nazarnya wajib membayar kaffarah. Kaffarah nazar adalah dengan memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.
4. Ila’.
Seorang suami yang melakukan ila’ iaitu bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya selama tempoh lebih dari empat bulan atau tanpa menyebutkan tempoh atau selama-lamanya wajib membayar kaffarah. Kaffarahnya adalah sama dengan kaffarah sumpah dan nazar iaitu memberi makan kepada 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.
5. Zihar.
Seorang suami yang melakukan zihar iaitu melafazkan sesuatu yang menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan anggota wanita yang mahram secara kekal (mu’abbad) wajib dikenakan kaffarah. Hukum zihar adalah haram dan haram bagi suami menyetubuhi isterinya kecuali setelah ditunaikan kaffarah. Kaffarah zihar berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau jika tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin.
HUKUM MEMBAYAR KAFFARAH
Semua bentuk kesalahan yang melibatkan kaffarah WAJIB ditunaikan mengikut ketetapan bagi setiap kesalahan. Ini kerana semua kesalahan tersebut telah dinyatakan oleh nas mutawatir daripada al-Quran dan al-Hadis jika dilakukan akan menyebabkan pihak yang bersalah dikenakan kaffarah.
KADAR BAYARAN KAFFARAH
Pengiraan kadar kaffarah adalah berdasarkan makanan asasi. Makanan asasi tersebut hendaklah diberi kepada fakir dan miskin dan ia juga boleh dilaksanakan melalui wang tunai.
Kadar makanan seorang dikira dengan secupak beras iaitu bersamaan 675 gram atau 1/4 daripada kadar zakat fitrah yang dibayar. Kadar zakat fitrah di negeri Selangor bagi tahun 2021 adalah RM 7.00. Maka kadar 1/4 zakat fitrah adalah RM 1.75.
Walau bagaimanapun, MAIS turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan iaitu sebanyak RM 14.00 seorang bagi yang memakan beras putih import / beras perang / beras pulut / herba ponni / beras wangi. Manakala RM 21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi / beras jepun / beras merah.
Oleh yang demikian, kadar bayaran kaffarah semasa yang ditetapkan adalah RM 1.75 atau RM 3.50 atau RM 5.25. Pihak MAIS juga diharuskan mengambil upah sebanyak 15% tidak termasuk kadar sebenar bayaran kaffarah bagi tujuan pengurusan. Maka, umat Islam boleh memilih untuk membayar kaffarah memberi makan seorang fakir miskin adalah RM 2.00 atau RM 4.00 atau RM 6.00.
TAKSIRAN KAFFARAH
Kiraan kadar kaffarah adalah mengikut kesalahan iaitu:
JENIS KESALAHAN | PENGIRAAN | JUMLAH (RM) |
---|---|---|
Persetubuhan Pada Siang Hari Bulan Ramadan | 60 x RM 2.00 | 120.00 |
Melanggar Sumpah | 10 x RM 2.00 | 20.00 |
Melanggar Nazar | 10 x RM 2.00 | 20.00 |
Ila’ | 10 x RM 2.00 | 20.00 |
Zihar | 60 x RM 2.00 | 120.00 |
*Kadar ini termasuk dengan upah sebanyak 15% yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bagi tujuan pengurus
PROSEDUR MEMBAYAR KAFFARAH DI MAIS
Bayaran kaffarah boleh dibuat secara atas talian melalui e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/kaffarah.php atau di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam negeri Selangor secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR.
Hasil bayaran kaffarah perlu diserahkan kepada Baitulmal dan akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk makanan dilaksanakan.