DEFINISI FIDYAH

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

DALIL PENSYARIATAN FIDYAH

Al-Quran

Firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)

Al-Hadis

Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من مات وعليه صيامُ شهرٍ فليُطعمْ عنه مكانَ كلِّ يومٍ مسكينًا

Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

HIKMAH PENSYARIATAN FIDYAH

a) Sebagai bentuk penebusan terhadap ketidaksempurnaan dalam melakukan sesuatu ibadah yang menyebabkan pelakunya berdosa;

b) Sebagai jalan keluar yang disediakan oleh Islam bagi mereka yang menghadapi masalah dalam melakukan ibadah; dan

c) Sebagai rukhsah (keringanan) bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan ibadah secara badaniyyah dengan menggantikannya dalam bentuk maliyyah.

HUKUM FIDYAH

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH

1. Meninggalkan puasa kerana tua.

Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.

2. Meninggalkan puasa kerana sakit kronik.

Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.

3. Meninggalkan puasa kerana hamil.

Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

4. Meninggalkan puasa kerana menyusukan anak.

Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

5. Meninggalkan puasa kerana musafir atau sakit dan tidak qada’ puasa pada tahun ia ditinggalkan.

Musafir dan Pesakit yang tidak menggantikan (qada’) puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menggantikan (qada’) puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

6. Melambatkan ganti puasa (qada’).

Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

7. Orang yang telah meninggal dunia.

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

TAKSIRAN FIDYAH

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH

KADAR BAYARAN FIDYAH

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awal 1442H bersamaan 3 November 2020 telah memutuskan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah 1/4 daripada zakat fitrah yang dibayar.

Kadar zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2021 bersamaan 1442 Hijrah ialah sebanyak RM 7.00 seorang. Penetapan kadar ini adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, MAIS turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan iaitu sebanyak RM 14.00 seorang bagi yang memakan beras putih import / beras perang / beras pulut / herba ponni / beras wangi. Manakala RM 21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi / beras jepun / beras merah.

Oleh yang demikian, kadar bayaran fidyah semasa yang ditetapkan adalah RM 1.75 atau RM 3.50 atau RM 5.25 mengikut jenis beras yang dimakan seperti di atas. Pihak MAIS juga diharuskan mengambil upah sebanyak 15% tidak termasuk kadar sebenar bayaran fidyah bagi tujuan pengurusan. Maka, umat Islam boleh memilih untuk membayar fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan termasuk upah iaitu RM 2.00 atau RM 4.00 atau RM 6.00.

KONSEP GANDAAN BAGI PENENTUAN BAYARAN FIDYAH

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa:

Harus menggunakan 2 kaedah:

i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.

Oleh yang demikian, apabila seseorang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya pada tahun semasa dan kemudian memasuki bulan Ramadan yang berikutnya, maka adalah digalakkan untuk menggandakan bayaran fidyahnya.

Contoh:

Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kiraan fidyahnya ialah:

RM 2.00 / RM 4.00 / RM 6.00 X 3 hari X 3 tahun = JUMLAH FIDYAH

PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH DI MAIS

Bayaran fidyah boleh dibuat secara atas talian melalui e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php atau di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam negeri Selangor secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR.

Hasil bayaran fidyah perlu diserahkan kepada Baitulmal dan akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.